Kekal kecergasan, elak jangkitan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Orang ramai khususnya penduduk di negara ini digesa agar sentiasa melakukan kegiatan fizikal dan mengaktifkan diri sekurang-kurangnya 30 minit sehari bagi orang dewasa dan 60 minit sehari bagi kanak-kanak dalam kebimbangan menghadapi penularan wabak jangkitan COVID-19.

“Ini adalah untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan dan seterusnya bagi mencegah daripada penyakit-penyakit yang tidak berjangkit yang boleh dikawal dengan melakukan kegiatan fizikal.”

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan,
hari ini.

Beliau seterusnya menekankan bahawa aktiviti fizikal bolehlah dibuat di dalam rumah, di sekitar halaman rumah atau di taman-taman rekreasi secara persendirian dan bukannya secara berkumpulan dan sentiasa mengamalkan penjarakkan fizikal dengan orang di sekeliling.

Dalam perkembangan lain, jelasnya, setakat ini, sebanyak 374 ujian secara rambang telah dijalankan khususnya dalam kalangan pekerja-pekerja asing dan semua keputusan ujian adalah negatif.

Ujian secara rambang berkenaan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan kumpulan tertentu sebagai usaha mempertingkatkan pemantauan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika berucap pada sidang media berkenaan.