Kekal keharmonian, perpaduan

SANDAKAN, 2 Jan – Semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama yang terjalin dalam masyarakat majmuk di negara ini pada hari ini perlu sentiasa dipelihara, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata ini penting kerana mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum adalah tanggungjawab bersama yang mewujudkan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial dan manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh masyarakat.

“Saya percaya dengan kukuhnya ikatan ukhuwah sesama umat Islam dan akrabnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini, kerajaan akan dapat meneruskan perancangan dan memperhebatkan usaha pembangunan.

“Ia akan memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan program pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan umat Islam dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya pada majlis perarakan dan perhimpunan sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Sandakan di sini, hari ini.

Musa mengetuai perarakan disertai 52 kontinjen dari Padang Bandaran Sandakan ke Masjid Daerah Sandakan.

Datuk Seri Musa Aman (empat, kanan) menyertai Perarakan dan Perhimpunan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sandakan kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman (empat, kanan) menyertai Perarakan dan Perhimpunan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sandakan kelmarin. – Bernama

Beliau berkata dalam menjayakan perjuangan ummah dan mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W, penting untuk umat Islam mengukuhkan ikatan ukhuwah Islamiah yang menjadi tonggak kejayaan, kekuatan dan kemajuan ummah.

Musa berkata hari ini umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya perbalahan, perpecahan dan persengketaan sesama sendiri menjadikan umat Islam lemah dan mudah diperkotak-katikkan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Justeru, marilah kita memantapkan ukhuwah dan mengukuhkan silaturahim sesama umat Islam kerana hanya dengan kesatuan dan perpaduan, umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan dihormati,” katanya. – Bernama