Kekal kesalinghubungan perdagangan ditekankan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sebelum COVID-19, kerajaan Negara Brunei Darussalam sememangnya amat menekankan kepentingan ke arah Revolusi Industri ke-4 sekali gus dapat menjana peluang-peluang ekonomi sehingga tertubuhnya Majlis Ekonomi Digital pada 2019 untuk membimbing dasar ke arah memandu Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara pintar.

Perkara itu dikongsi oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam intervensinya semasa mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC Ke-26 (SMEMM Ke-26) yang dikendalikan secara maya, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, menyatakan bahawa turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengerusi Kumpulan Kerja Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan (MSMEE WG) di bawah Majlis Penasihat Perniagaan-APEC (ABAC), Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

Juga hadir di mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, pegawai-pegawai dari Bahagian Ekosistem Industri dan Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta pegawai-pegawai dari Darussalam Enterprise.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf mengongsi bahawa disebabkan oleh pandemik COVID-19, agenda pendigitalan Negara Brunei Darussalam telah dipercepatkan dengan tumpuan lebih besar kepada menyokong kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Brunei.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bersama menteri-menteri dan wakil-wakil daripada semua ekonomi APEC semasa menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama erat di semua peringkat dan di kalangan anggota ekonomi dalam mengekalkan kesalinghubungan perdagangan bagi memastikan rantaian bekalan serantau dan global kekal berdaya tahan daripada kejutan masa depan.

Menurut kenyataan berkenaan, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil daripada semua ekonomi APEC. Di bawah tema mesyuarat, Navigating the New Normal: Restarting and Reviving MSMEs through Digitalisation, Innovation and Technology, anggota-anggota ekonomi mengenal pasti akan kesan pandemik COVID-19 yang belum pernah dilihat kepada peniagaan dan menyeru kepada ekonomi-ekonomi APEC untuk memperkukuhkan dasar serta memastikan langkah-langkah yang akan membantu PMKS untuk pulih dan membina ketahanan.

Anggota ekonomi juga berkongsi amalan terbaik dan menyampaikan pandangan berhubung dengan dua tema kecil iaitu COVID-19 and MSMEs-Best Practices to Mitigating the Impact of the Pandemic dan Digitalising MSMEs for an Inclusive and Sustainable New Normal.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa menerusi Kenyataan Menteri-menteri PKS APEC 2020, anggota ekonomi menyatakan komitmen untuk mengemudi PMKS dalam norma baharu di bawah tema APEC 2020, Optimising Human Potential Towards a Resilient Future of Shared Prosperity, sambil menekankan pentingnya mempromosi PMKS akses ke pasaran antarabangsa serantau, mengekalkan rantaian bekalan stabil serantau dan global serta memajukan pemulihan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Kenyataan itu juga mempersetujui Pelan Strategik Kumpulan Kerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEWG) 2021-2024, yang menetapkan matlamat dalam lima bidang keutamaan khususnya keusahawanan, inovasi dan syarikat permulaan, akses PKS kepada pasaran antarabangsa dan rantaian nilai global, pembangunan kapasiti inklusif ke arah pendigitalan, akses kepada penyelesaian pembiayaan dan pembiayaan alternatif serta interaksi kerajaan dengan perniagaan.