Kekal konsistensi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Penguatkuasaan undang-undang jenayah yang ketat telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah negara yang paling selamat di dunia.

Tetapi negara juga menyedari perlunya keadilan dalam pentadbiran keadilan jenayah dan untuk mengekalkan konsistensi dan ramalan dalam hukuman yang diluluskan oleh mahkamah, dari itu, Jabatan Kehakiman melancarkan projek untuk menerbitkan sebuah ‘Bench Book’ yang mengandungi garis pandu kes bagi pelbagai jenis kesalahan untuk rujukan hakim dan majistret dalam melaksanakan fungsi penghakiman mereka.

Pengumuman penerbitan buku ‘Bench Book’ itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong ketika b’erucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Beliau menyatakan lagi bahawa buku berkenaan akan meliputi kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Penyalahgunaan Dadah, Akta Lalu lintas, Akta Imigresen, Akta Cukai Pendapatan, Perintah Eksais dan Perintah Kastam.

“Saya yakin bahawa pada tahun-tahun mendatang akan ada tahap konsistensi yang lebih besar dan prediktabiliti dalam hukuman yang akan memberi manfaat kepada hakim, majistret, pendakwa raya dan peguam bela.”

Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2019, baru-baru ini. – Gambar fail oleh Muiz Matdani

Dalam ucapannya lagi, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong turut menyentuh mengenai laman sesawang kehakiman dan menjelaskan bahawa ia akan sering dikaji semula untuk memberikan landasan berguna untuk pemberian maklumat tentang hal ehwal mahkamah dan untuk tujuan kajian.

Beliau juga menyatakan bahawa laman sesawang kehakiman, baru-baru ini, telah diperbisaikan dan menawarkan arahan e-Practice Directions, e-Judgements bermula tahun 1987 hingga 2018 dan e-Publications.

Yang Amat Arif dalam ucapannya turut memuji Persatuan Undang-undang atas usaha-nya dalam mengembangkan perkhidmatan pro bono (percuma) untuk meningkatkan akses pada keadilan.

“Pada tahun lepas ada 11 klinik undang-undang dengan 26 buah firma guaman secara sukarela memberi perkhidmatan mereka. Nasihat telah diberikan pada perkara-perkara jenayah, komersial, kecederaan peribadi dan undang-undang keluarga.”

Beliau turut menyatakan bahawa dana bantuan guaman telah dilancarkan untuk menyediakan perwakilan undang-undang kepada orang-orang tertuduh di bawah umur atau mereka yang menderita daripada ketidakupayaan mental. Yang Amat Arif menggalakkan semua ahli badan guaman untuk menawarkan khidmat mereka dan menggunakan latihan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dan lemah demi kepentingan awam.