Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekal prestasi

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Kejayaan Capital Residence Suites (CRS) yang menerima anugerah kecemerlangan daripada Tripadvisor selama tiga tahun berturut-turut adalah atas sokongan berterusan serta maklum balas positif tetamu dan usaha kakitangan hotel berkenaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu yang menginap di hotel itu.

    Pengiktirafan daripada Tripadvisor dari tahun 2015 hingga 2017 itu mencerminkan usaha pihak CRS untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada tetamu mereka serta terus berusaha memperbaiki lagi mutu perkhidmatan dan pengalaman penginapan di hotel berkenaan.

    Perkara itu antara yang disentuh oleh Pengurus Besar Capital Residence Suites, Awang Abdul Rani bin Siteh semasa temu bual bersama Media Permata di hotel itu, hari ini.

    Beliau menambah bahawa kejayaan dan pengiktirafan yang diterima daripada beberapa anugerah pelancongan antarabangsa termasuk Tripadvisor, Booking.com, Hotel.com dan HolidayCheck.com adalah berasaskan kepada dua prinsip utama iaitu untuk memberikan pengalaman yang terbaik bagi tetamu mereka serta untuk memastikan keselesaan mereka sepanjang penginapan mereka.

    Menurut Awang Abdul Rani lagi, pengalaman yang diberikan kepada tetamu mereka bukan sahaja terhad kepada semasa berada di dalam hotel itu sahaja tetapi memberikan perkhidmatan tambahan kepada mereka untuk menikmati keindahan dan keunikan Bandar Seri Begawan serta Negara Brunei Darussalam bagi tetamu dari luar negara.

    Awang Abdul Rani bersama tetamu dan kakitangan Capital Residence Suites bergambar ramai dengan anugerah-anugerah pelancongan antarabangsa yang dianugerahkan kepada hotel berkenaan di Lobi, Capital Residence Suites, Bandar Seri Begawan.

    Salah satu perkhidmatan yang mendapat pujian daripada tetamu mereka, ulasnya, adalah perkhidmatan bas percuma yang membawa para tetamu ke tempat-tempat menarik di sekeliling Bandar Seri Begawan termasuk ke tempat-tempat menarik di Muara dan Jerudong.

    Beliau berkata lagi, usaha yang dilaksanakan oleh pihaknya merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong usaha pihak kerajaan khususnya Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

    Di samping itu, katanya, hotel berkenaan juga sedang dalam proses melaksanakan projek terkininya iaitu pengubahsuaian, penambahan bangunan serta penyediaan kemudahan terbaharu bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta keselesaan tetamu hotel berkenaan.

    Jelasnya, apabila projek penambahbaikan itu dijangka selesai pada Jun nanti, ia akan menambah sebanyak 36 buah bilik yang mempunyai ciri-ciri uniknya tersendiri dan berhasrat untuk menjadikan hotel itu sebagai sebuah hotel butik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda