KOTA KINABALU, 16 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memuji komitmen berterusan industri pelancongan dan perhotelan di Sabah dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan sekali gus meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerjanya dan masyarakat.
Beliau berkata usaha itu memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia menunjukkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada negara bagi nikmat kemerdekaan yang dikecapi sehingga kini.
Katanya setiap organisasi yang terlibat dalam industri pelancongan dan perhotelan memainkan peranan penting untuk menjaga imej baik dalam mempromosikan negara kepada dunia luar.
“Setiap organisasi harus menunjukkan sikap warganegara merdeka yang sebenar menerusi nilai budi bahasa tinggi bagi menjaga nama baik sekali gus meningkatkan pendapatan industri pelancongan,” katanya pada pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Sutera Habour Resort 2017 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Noor.

Musa berkata walaupun Sabah mempunyai rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama, namun mereka membuktikan ia bukan penghalang untuk terus bersatu hati, saling memahami dan hormat menghormati.
Beliau berkata semangat kesatuan itu menjadi penggerak kepada agenda memperkasa integrasi nasional dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
“Saya yakin dan percaya, Malaysia boleh melangkah lebih jauh lagi jika kita mengambil inisiatif positif seperti menyemai nilai toleransi, persefahaman dan sikap saling bantu membantu sesama kita.
“Semangat ini perlu terus disemai dan dipupuk supaya kita mampu membina generasi yang mantap serta berupaya mengekalkan semangat perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi, politik dan sosial,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 60 ekor burung dilepaskan sebagai simbolik pelancaran selain perarakan perbarisan daripada beberapa organisasi badan beruniform.
Lebih 500 Jalur Gemilang serta bendera Sabah dikibarkan di sekitar Sutera Habour Resort sejak dua minggu lepas. – Bernama