Kekal tanpa jangkitan baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN– Negara Brunei Darussalam hari ini mengekalkan sifar jangkitan COVID-19 dalam masa sebulan (31 hari pada 7 Jun), semenjak kes terakhir pada 7 Mei lalu dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan kekal kepada 141 orang, manakala sembuh masih pada jumlah sama, 138 orang.

Statistik itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, pada masa ini hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, di mana masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lungmachine (ECMO) dan mesin pernafasan.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau cepat sembuh dan semoga Allah SWT memberikan kesihatan seperti sedia kala. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” pohon Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau kemudiannya mengongsi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 502 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 21,659 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sesi sidang media tersebut.