Kekalahan Atletico beri peluang kepada pesaing

MADRID, 21 FEB – Atletico Madrid memberi harapan kepada pesaing kejuaraan La Liga selepas tewas 2-0 kelmarin di gelanggang sendiri kepada Levante dan terlepas peluang untuk mendahului enam mata di puncak liga.

Kekalahan tersebut merupakan yang kedua buat Atletico pada musim ini dan kali pertama di Wanda Metropolitano dalam kejohanan sejak Barcelona menewaskan mereka di sana pada Disember 2019.

Ini bermakna jurang kelebihan 11 mata di puncak liga kini hanya menjadi enam mata, dengan Real Madrid, pencabar terdekat, bermain menentang Real Valladolid.

Disebabkan oleh perubahan jadual perlawanan, Atletico beraksi menentang Levante buat kali kedua dalam tempoh empat hari, setelah Atletico tercicir dua mata menentang mereka dengan keputusan seri 1-1 pada Rabu.

Levante membuktikan bahawa kemenangan tersebut bukan kerana nasib, walaupun mereka terselamat dari 28 percubaan Atletico sebelum wisel penamat. Pasukan Diego Simeone perlu menemui kembali rentak mereka dalam perlawanan pada Selasa menentang Chelsea di Liga Juara-Juara kelompok 16 terakhir pusingan pertama di tempat sendiri.

“Kempen liga sentiasa sama, dengan saat besar, kesukaran, cabaran, untuk semua orang, bukan hanya untuk Atletico Madrid,” kata Simeone.

“Pasukan yang kuat ketika ini adalah pasukan yang akan mencapai sasaran mereka.”

Luis Suarez hampir menjaringkan gol penyamaan, sepakan percuma pada separuh masa kedua sekadar singgah ke tiang gol.

Dia kini mencatat tiga perlawanan liga tanpa menjaringkan gol buat kali pertama musim ini. – AFP

Aksi Luis Suarez membuat sepakan percuma semasa pertemuan menentang Levante di gelanggang sendiri, kelmarin. – AP