Kekalahan Sweden beri peluang kepada Sepanyol

LONDON, 12 NOV – Sweden tewas mengejut 2-0 di Georgia kelmarin memberikan Sepanyol talian hayat dalam usaha mereka untuk memastikan kelayakan ke Piala Dunia tahun depan di Qatar.

Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk pasukan tuan rumah di Tblisi ketika pasukan Sweden yang dibintangi Zlatan Ibrahimovic dan pemain bintang yang sedang meningkat naik, Alexander Isak berjaya ditundukkan.

Sepanyol kini boleh mendahului Kumpulan B apabila berdepan Greece di Athens pada hari Khamis depan.

Kekalahan Sweden bermakna walaupun Sepanyol gagal meraih kesemua tiga mata, mereka akan mempunyai peluang kedua untuk memastikan tempat di Qatar apabila menjadi pasukan tuan rumah kepada Sweden di Seville pada hari Ahad.

Sementara itu, Rusia membelasah Cyprus 6-0 di St Petersburg dan mengejar satu mata untuk layak.

Dua gol daripada Aleksandr Erokhin serta gol separuh masa kedua daripada Fedor Smolov, Andrei Mostovoy, Aleksei Sutormin dan Anton Zabolotny membawa Rusia lima mata di hadapan Croatia dalam Kumpulan H. – AFP

Reaksi pemain Georgia meraikan kemenangan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden kelmarin. – AFP