Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan keaslian batik Terengganu guna kaedah tradisional

    KUALA TERENGGANU – Meskipun ketika ini terdapat lambakan produk tekstil bercirikan batik dengan pengeluaran menggunakan mesin berteknologi tinggi oleh beberapa pengusaha tempatan namun masih terdapat usahawan yang terus mengekalkan pengeluaran batik secara tradisional.

    Kamis Batik Kuala Terengganu yang terletak di Kampung Banggol Durian di sini adalah antara syarikat pengeluar batik asli yang terbesar di negeri ini dan masih menggunakan ‘kudrat tulang empat kerat’ 13 orang pekerjanya – tujuh bertanggungjawab untuk menerap lilin menggunakan blok, tiga di bahagian mewarna dan tiga di bahagian merebus batik untuk menanggalkan lilin dan lebihan warna. Pengusahanya, Kamis Kassim, 55, berkata beliau lebih selesa menghasilkan batik dengan kaedah tradisional kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding kaedah moden menggunakan mesin.

    “Ini adalah warisan kita, ada seninya dan sentuhan unik yang lahir dari jiwa, hasil pelbagai proses dari mula pekerja menekap blok batik, mewarna, merebus dan menjemur sehingga kering. Semua itu harus dipelihara kerana ia adalah kemahiran dan bakat yang istimewa,” kata Kamis, yang sering menjadi rujukan pelajar universiti dan pihak yang mahu membuat kajian mengenai pembuatan batik asli Terengganu.

    Katanya perbezaan ketara yang dapat dilihat pada pembuatan batik dengan kaedah tradisional ialah dari segi warna yang tahan lama dan tidak mudah luntur, kepelbagaian corak melalui blok batik yang ditekap serta campuran warna unik yang dihasilkan mengikut kreativiti pengusaha.

    “Namun, agak mengecewakan kerana masyarakat tidak dapat mengenali perbezaan ini kerana tidak mendapat penerangan yang tepat daripada penjual. Ini agak merugikan kerana dikhuatiri mereka akan rasa tertipu apabila batik yang dibeli bukanlah batik asli Terengganu seperti yang diuar-uarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di bengkelnya baru-baru ini.

    Pengurus Kedai Batik Kamis, Nurul Ain Kamis menunjukkkan koleksi kain bercorak batik asli Terengganu ketika tinjauan di Bengkel Batik Kamis, Kampung Banggol Durian, Serada. – Bernama
    Antara blok batik berlainan saiz, corak dan motif yang digunakan oleh usahawan batik tradisional Terengganu. – Bernama
    Pekerja Batik Kamis, Abdul Karim Salleh melakukan proses menerap batik pada kain ketika tinjauan di Bengkel Batik Kamis, Kampung Banggol Durian, Serada. – Bernama
    Pekerja Batik Kamis, Mat Rani Saad melakukan proses terakhir dengan merendam kain yang telah direbus ke dalam air bersih sebelum menjemurnya. – Bernama

    Bapa kepada lima orang anak itu bagaimanapun tetap menghormati cara pembuatan batik oleh pengusaha lain, namun berharap penerangan tepat akan diberi kepada masyarakat agar mereka tidak keliru dengan harga, kualiti serta keaslian batik tersebut.

    Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu agar pembuatan batik Terengganu dapat dijadikan daya tarikan pelancongan dengan konsep ‘factory outlet’ agar pelancong dapat mengetahui keistimewaan warisan seni itu dengan lebih mudah sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

    Bermula Januari lepas, Kamis tidak lagi membuat batik basahan sebaliknya memberi fokus kepada pengeluaran kain batik pasang menggunakan fabrik sutera kapas yang diimport dari Indonesia memandangkan masih belum ada pengusaha lain yang menghasilkan batik menggunakan fabrik itu ketika ini.

    “Istimewanya fabrik ini berbanding kain kapas biasa atau sutera ialah ia lebih selesa dipakai, sejuk, mudah digosok, lebih tahan lasak dan harganya hanya RM200 untuk sepasang (empat meter) berbanding sutera yang dijual lebih RM300 sepasang.

    “Setakat ini, syarikat menghasilkan 1,200 pasang batik sutera kapas setiap bulan dan kami sasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kepada 4,000 pasang batik sebulan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya, yang telah menjalankan perusahaan itu sejak 25 tahun lalu.

    Ketika ini, Kamis adalah pembekal terbesar batik asli Terengganu yang menggunakan kaedah tradisional kepada 30 buah kedai di Pasar Besar Kedai Payang serta beberapa premis jualan di sekitar bandar Kuala Terengganu.

    Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Juhari Azmi berkata pengeluaran produk batik asli perlu dikekalkan bagi menjaga seni kraf warisan negara.

    “Kraftangan Malaysia sentiasa memberi sokongan kepada penggiat, usahawan dan artisan seni batik dengan mengadakan makmal rekaan, orientasi pengeluaran dan pemasaran secara fizikal dan yang terkini melalui platform digital iaitu pemasaran dalam talian.

    “Pemasaran secara dalam talian diperkukuhkan oleh Kraftangan Malaysia dengan mewujudkan e-kraf bazar (EKB) dengan keahlian terkini seramai lebih 13,000 orang. Platform digital diperluaskan lagi dengan mewujudkan aplikasi mycraftshoppe, khas untuk memasarkan produk kraf yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan kraf di seluruh Malaysia ke peringkat global.

    “Kraftangan juga sedia membantu komuniti setempat untuk berkecimpung di dalam industri kraf terutama di Terengganu yang begitu unik dengan kepelbagaian seni kraf seperti batik, tenunan songket, ukiran kayu, produk tembaga dan anyaman mengkuang bagi membantu masyarakat untuk menjana pendapatan bagi memperkasa sosioekonomi rakyat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda