Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
TEMBURONG, 12 Mei – Kira-kira 60 orang telah terlibat dalam kempen gotong-royong membersihkan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar dan kawasannya di sini, hari ini, yang dilaksanakan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Turut menyertai kempen ialah Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin dan dibantu ahli-ahli Persatuan Pengakap Daerah Temburong.
Kempen dimulakan dengan membersihkan kawasan dalam masjid, dapur, stor dan perkarangan masjid tersebut, selain itu, membersihkan saliran-saliran air dan longkang serta mengutip sampah sarap.
Program tahunan berkenaan dikendalikan oleh ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, para Muslimah dan ahli kelas muqaddam masjid tersebut.
Selain itu, ia juga merupakan program kemasyarakatan membersihkan masjid secara bergilir yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk memastikan setiap masjid di daerah ini dalam keadaan bersih dan selesa.

Masjid Utama Mohammad Salleh yang dibina pada 10 April 1965 dan mula digunakan pada tahun 1967, merupakan masjid keempat yang dibina di daerah ini.
Masjid ini boleh menampung 800 orang jemaah dan perasmiannya disempurnakan pada 21 Jun 1968 oleh Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sebagai masjid tumpuan yang terletak di Pekan Bangar, masjid berkenaan antara yang aktif menjalankan aktiviti bukan saja berbentuk keagamaan malah kemasyarakatan dan riadah, termasuk acara yang disempenakan dengan hari-hari kebesaran Islam.