Kekalkan kesihatan diri, hindari penyakit

Negara kita masih mengekalkan penutupan sempadan bagi perjalanan yang tiada berkepentingan.

Justeru, dengan penutupan sempadan ini rakyat dan penduduk negara hanya terhad berada dalam negara.

Ini satu langkah yang sangat baik bagi saya. Ini kerana, ekonomi negara kita boleh meningkat dan secara tidak langsung peniaga-peniaga tempatan kita juga mendapat sokongan daripada orang tempatan sendiri. Dalam masa yang sama juga, orang ramai dapat beriadah dan bercuti mengenali negara kita sendiri dengan melawat atau berkunjung ke tempat-tempat lawatan di keempat-empat daerah.

Terbaharu yang semakin digemari oleh masyarakat kita adalah melakukan aktiviti pendakian bukit. Apa lagi banyak tempat pendakian baharu yang menarik untuk beriadah dan sebagainya.

Namun, penggunaan tempat-tempat riadah ini disalahgunakan kerana secara tidak langsung mengadakan perkumpulan ramai ketika melakukan pendakian bukit.

Lebih-lebih lagi di kawasan baharu yang semakin ramai pengunjungnya iaitu Bukit Sum-Sum dan Bukit Silat yang terletak di Kampung Katok. Kegiatan mendaki itu sememangnya disambut baik, namun kita perlu beringat melakukan pendakian adalah untuk menjaga kesihatan dan bukannya mengundang penyakit.

Ini tidak, ramai yang berduyun-duyun melakukan aktiviti di sana, seolah-olah negara kita bebas sepenuhnya dari ancaman virus. Dalam masa yang sama, habis di bahu-bahu jalan dipenuhi dengan kereta-kereta pengunjung. Untuk menjaga kesihatan itu boleh tapi bila sudah nampak di mata kita ia penuh dengan orang ramai, maka cuba elakkan untuk melakukan aktiviti pendakian.

Banyak lagi tempat dan cara untuk kekalkan kesihatan. Bersyukurlah kita terhadap pencapaian negara kita mengekalkan angka bagi jangkitan baharu. Kita mampu melakukan perubahan, janganlah kita seperti kerbau yang membawa lumpur, kerana apabila terpalit semuanya kena.

Sama2 Beingat