Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Kekalkan warisan kuih kelapa Teochew

    HO CHI MINH CITY – Kek kelapa Teochew telah menjadi snek yang lazat untuk banyak generasi di Daerah 5 Ho Chi Minh (HCM) City kerana rasanya yang unik.

    Kek kelapa Teochew dikatakan dibuat pertama kali oleh etnik Teochew di China, kemudiannya diperkenalkan ke Vietnam berikutan penghijrahan orang Teochew ke negara itu berabad-abad yang lalu. Di HCM City, ia pertama kali muncul di Daerah 5, di mana banyak penduduknya terdiri dari etnik Hoa (warga Vietnam yang berasal dari Cina).

    Kek dibuat dengan meletakkan inti di antara dua lapisan kek. Tetapi penciptaan setiap komponen kek adalah seni. Untuk membuat kek, campuran tepung, telur, dan gula pasir disediakan, dibakar dalam acuan yang diletakkan di atas dapur arang, kemudian diketepikan untuk menyejukkannya.

    Di sesetengah tempat, pembuat kek berkenaan akan menambah ekstrak daun pandan ke dalam adunan untuk meningkatkan rasa kek. Potongan kelapa diletakkan di antara dua lapisan, bersama dengan durian, mentega kacang, atau cade.

    Cade ialah taburan yang dibuat daripada tiga bahan utama iaitu telur ayam, gula, dan santan. Pada gigitan pertama, awda boleh merasai kelembutan kek dengan rasa telur dan aroma daun pandan yang mendamaikan.

    Kek kelapa Teochew dibuat dalam acuan besi yang dibakar di atas dapur arang. – ANN/VNS
    Trang Vinh Phat, yang merupakan etnik Hoa telah mencari rezeki dengan menjual kek ini selama beberapa dekad. – ANN/VNS
    Sepotong kuih kelapa Teochew yang baharu masak tampak menyelerakan. – ANN/VNS

    Kelapa juga memberikan tekstur yang rangup yang sedap dikunyah. Akhirnya, rasa manis susu dan santan dari cade mengikat keseluruhan hidangan bersama-sama.

    Trang Vinh Phat telah menjual kek kelapa Teochew sejak tahun 1980 di HCM City dengan kereta mudah alihnya, dan pada tahun ini dia telah membuka sebuah kedai kecil bernama Tan Da Coconut Cake di Daerah 5.

    “Dulu kek hanya ada satu inti sahaja iaitu pes kacang hijau. Tetapi memandangkan orang ramai tidak lagi menggemari kacang hijau, saya telah membuat pelbagai jenis inti untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” kata Phat.

    “Memandangkan kek itu buatan tangan, tukang kek sentiasa perlu mengawal suhu api dengan teliti, jika tidak, ia akan hangus,” katanya.

    Kedai itu sentiasa sibuk membuatkan suasana di sini sentiasa meriah. Semua pembuat kek di sini adalah ahli keluarga, kerana perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga adalah ciri umum budaya Cina-Vietnam.

    Tran Loi, lelaki berusia 67 tahun yang menjual kuih kelapa Teochew sejak 1977 di Daerah 8 berkata, resipi kek keluarganya hanya diturunkan kepada ahli keluarga. Memandangkan kesihatannya tidak begitu baik seperti dahulu, baru-baru ini dia telah menurunkan resipi rahsia itu kepada anaknya.

    Bagi kebanyakan orang dewasa HCM City, kek ini adalah sebahagian daripada nostalgia zaman kanak-kanak mereka. Ada yang kini membeli makanan ini untuk dinikmati oleh anak mereka sendiri.

    Kelembutan dan rasa manis kek itu menunjukkan ia boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.

    Berbanding dengan makanan ringan lain, kek ini mempunyai harga yang berpatutan iaitu kira-kira VND25,000 hingga VND40,000 (AS$1.70). – ANN/VNS

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...