ANKARA, 17 MAC – Kerajaan perlu melipatgandakan langkah berjaga-jaga mengenai penularan, diagnosis dan rawatan COVID-91, kata jurucakap kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Fadela Chaib lapor agensi berita Anadolu kelmarin.
Beliau turut menasihatkan setiap orang perlu mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan, mendengar arahan pegawai kesihatan antarabangsa dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti WHO.
PBB akan bekerjasama dengan platform media sosial seperti Twitter, Facebook, Pinterest, Tencent dan Tiktok, untuk menyekat berita palsu mengenai virus COVOD-19.
Di negara yang dilanda pandemik, kerjasama itu membolehkan pengguna dalam talian terus ke laman web WHO secara automatik untuk maklumat mengenai COVID-19.
Sementara itu, jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata “setiap negara perlu mengambil langkah pencegahan bergantung kepada situasi dalam negara dan tahap penularan virus.”
“Perkara paling kritikal sekarang ialah setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kami menyeru rakyat mematuhi arahan pegawai kesihatan dan membantu orang lain seboleh yang mungkin,” katanya, sambil menambah warga tua tidak digalakkan berada di tempat sesak. – Bernama