KUALA LUMPUR, 21 JAN – ASEAN perlu mencari pendekatan secara kolektif untuk mengekang jenayah siber rentas sempadan, ketika rantau itu bersedia untuk muncul sebagai blok ekonomi digital yang kompetitif ketika pasca-COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam ucaptama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) yang diadakan secara maya, Muhyiddin berkata cabaran utama yang dihadapi kumpulan serantau dalam bidang siber adalah untuk terus berada di hadapan dalam dua bidang utama iaitu mengekang jenayah siber dan menuju kemajuan ekonomi digital.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia menyedari bentuk jenayah siber rentas sempadan dan cabaran untuk membawa penjenayah siber ke muka pengadilan kerana ia memerlukan pendekatan serantau yang selaras dan bersepadu.
“Dalam hal ini, negara-negara anggota ASEAN tidak lagi boleh bergerak dan bekerja secara berasingan,” katanya sempena perasmian ADGMIN1 yang bertemakan ASEAN: Komuniti Yang Dihubungkan Secara Digital, di sini, hari ini.
Beliau berkata ASEAN secara berte-rusan membincang dan menyuarakan sokongannya terhadap suatu set peraturan antarabangsa, norma dan prinsip dalam tingkah laku yang bertanggungjawab mengenai ruang siber dalam membina persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai. – Bernama
