Kekasih Cita Citata mula berpuasa

Penyanyi dangdut Cita Citata memberitahu kekasihnya iaitu Roy Maher Geurts merasa keletihan selepas menjalani ibadah puasa buat pertama kalinya setelah memeluk Islam, baru-baru ini.

Menurut laporan Liputan 6, Cita berkata Roy sedang menyesuaikan diri dan mereka mencuba menu yang sesuai untuk dinikmati ketika berbuka puasa dan sahur.

“Roy terkejut! Selepas sahaja berbuka puasa, dia merasa letih dan terus tidur. Jadi sekarang saya sedang mencari makanan apa yang perlu dimakan ketika sahur dan berbuka sehingga dia tidak mudah merasa letih.

“Dia seorang yang kuat bersukan dan menjaga kesihatan tubuh badan. Jadi saya sedang mencari menu sesuai untuk juadah berbuka puasa nanti,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sakitnya Tuh Disini berkata dia telah memberikan nasihat kepada Roy supaya kekal aktif sepanjang hari berpuasa.

Dia turut menyediakan menu khas berbuka puasa iaitu bubur dan juga memberikan tiga biji buah kurma.

“Saya memintanya untuk mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya, saya memberikan nasihat tapi tidak memaksanya. Saya juga beritahu dia bahawa corak tidur perlu diubah, contohnya dua jam selepas berbuka puasa mesti tidur supaya kalau bangun badan lebih segar.

“Saya buatkan pengat dan setiap kali berbuka puasa saya beri tiga biji kurma. Dia mengatakan bahawa rasa buah kurma sangat manis… katanya lagi, bubur pengat adalah makanan yang sangat unik, kerana di Belanda tidak ada,” ujarnya.- Agensi

Cita Citata memberitahu kekasihnya merasa letih selepas menjalani ibadah puasa buat pertama kalinya setelah memeluk Islam.- Agensi