Kekasih suruh Scha padam foto seksi

Tindakan pelakon seksi, Scha Elinnea, 22, memadam foto mencolok mata dalam laman Instagram (IG) mencetuskan spekulasi, dirinya sedang dilamun cinta dan bakal mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu menafikannya, sebaliknya ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.

Sungguhpun begitu, Scha atau nama sebenarnya, Natasha Mohamed Mubeen tidak menafikan sedang mengenali hati budi seseorang. Malah, jejaka istimewa itu menegur mengenai penampilan seksinya itu.

“Saya mahu berubah bukan disebabkan sudah ada kekasih. Saya akui, sedang berkawan dengan seseorang, namun bukanlah faktor ini menyebabkan hati saya mahu berubah.

“Sebelum ini, saya banyak menerima teguran pengikut dalam laman sosial. Tentulah sedikit sebanyak menjentik tangkai hati apabila ramai menegur.

Scha Elinnea memadam foto mencolok mata dalam laman Instagram (IG) mencetuskan spekulasi, dirinya sedang dilamun cinta dan bakal mendirikan rumah tangga. – Agensi

“Saya tak dinafikan menerima pelbagai komen, ada menegur secara baik, tidak kurang pula menggunakan kata-kata kesat. Hati saya pula jadi lebih lembut apabila menerima teguran secara baik. Saya anggap teguran ikhlas sebagai nasihat.

“Namun, saya akan padam dan sekat pengikut yang meninggalkan komen keterlaluan serta kasar. Jujurnya, teguran peminat membuatkan saya sering berfikir sampai bila nak jadi begini,” katanya kepada media.

Gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, dia sedar perlu berubah menjadi insan lebih baik, umurnya juga bukan semakin muda.

Bagaimanapun, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Mr Grey itu menegaskan, keputusannya berubah bukan disebabkan mahu berkahwin. Dia masih lagi mengejar impian dalam dunia lakonan.

Scha membuat pengakuan jujur ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu, SiTik Tok secara virtual, baru-baru ini. Mengulas kerjaya seninya, Scha berkata, dia gembira apabila dua drama lakonannya, SiTik Tok dan Hatimu Sedingin Salju ditayangkan serentak di kaca televisyen (TV).

Katanya, dia sepatutnya membintangi beberapa drama, namun penggambaran tidak dapat diteruskan disebabkan Fasa 1 PPN yang masih berlanjutan sehingga hari ini.

Bercerita watak Siti dalam drama SiTik Tok, Scha berkata, dia dan Siti berjiwa sama, ‘happy go lucky.’

Sepanjang penggambaran, Scha berkata, syarikat produksi amat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Namun, katanya, dia akur dengan SOP ditetapkan demi keselamatan satu pasukan drama.

“Kami diwajibkan menjalani ujian calitan sebelum memulakan penggambaran. Kami juga perlu membuat imbasan MySejahtera setiap kali masuk ke lokasi, selain melakukan pemeriksaan suhu badan.

“Penggambaran juga tidak dibenarkan habis terlalu lewat. Saya tiada masalah berdepan dalam norma baharu dunia lakonan. Bagi saya, syarikat produksi perlu bertindak tegas dan ikut SOP ketat demi menjamin keselamatan,” katanya. – Agensi