Kekayaan 2,153 bilionair melebihi harta 60 peratus penduduk dunia

DAVOS, 20 JAN – Hasil kajian Oxfam International (Oxfam) mendapati seramai 2,153 bilionair mempunyai kekayaan melebihi harta dimiliki 4.6  bilion penduduk termiskin dunia.

Ketua Oxfam India, Amitabh Behar, berkata kajian sama mendapati jumlah bilionair bertambah dalam tempoh sedekad lalu.

“Wanita dan gadis miskin berada di kedudukan paling bawah dengan bekerja tanpa bayaran selama 12.5 bilion jam sehari, yang mana jika dinilai dari segi kewangan, dianggarkan berjumlah AS$10.8 trilion setahun.

“Ekonomi kita yang pincang menyebabkan bilionair dan perniagaan multinasional dapat mengaut keuntungan besar dengan mengeksploitasi orang biasa.

“Justeru, tidak menghairankan jika orang mula mempersoalkan sama ada bilionair patut wujud,” katanya yang akan menghadiri acara tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, mewakili Oxfam.

Tegas beliau, jurang antara kaya dan miskin tidak boleh dirapatkan tanpa dasar khusus yang dapat memecahkan ketidakseimbangan itu.

Laporan tahunan Oxfam mengenai ketidakseimbangan global itu lazimnya diterbitkan sebelum Forum Ekonomi Dunia membuka tirai dan kali ini memuatkan statistik yang mengejutkan.

Misalnya, 22 lelaki terkaya di dunia didapati mempunyai lebih banyak kekayaan daripada harta milik semua wanita di Afrika.

Jika satu peratus daripada golongan terkaya di dunia membayar hanya lebih 0.5 peratus sebagai cukai untuk tempoh 10 tahun, ia menyamai pelaburan yang diperlukan bagi mewujudkan 117 juta peluang kerja baharu.

Statistik Oxfam itu adalah berdasarkan laporan dan data majalah Forbes serta bank di Switzerland, Credit Suisse, tetapi dipertikaikan beberapa ahli ekonomi.

Behar berkata, wanita dan gadis lazimnya menanggung beban kerana golongan itu dianggap ‘penjaga’ bagi memastikan roda ekonomi, perniagaan dan masyarakat bergerak, dalam erti kata lain, hanya layak sebagai suri rumah atau kerja tanpa gaji.

“Akibatnya, tiada masa untuk mereka mendapatkan pendidikan, beroleh mata pencarian atau hak bersuara dalam masyarakat, sekali gus memerangkap mereka di kedudukan paling bawah.

“Di seluruh dunia, 42 peratus wanita tidak boleh mendapatkan pekerjaan kerana mereka diharapkan menguruskan keluarga dan rumah tangga, berbanding hanya enam peratus lelaki memikul atau berkongsi tanggungjawab sama,” katanya. – AFP