WASHINGTON, 25 NOV – Amerika Syarikat (AS) akan melanjutkan kekecualian tarif bagi beberapa produk perubatan dari China, kata Wakil Perdagangan AS (USTR) kelmarin.
Kekecualian itu pada mulanya dijangka luput pada 30 November dan telah dilanjutkan selama tiga bulan, menurut USTR dalam satu kenyataan.
Kekecualian tersebut pertama diumumkan pada Disember 2020, dan tindakan terbaharu diambil ‘memandangkan usaha berterusan untuk memerangi COVID,’ kata UTSR.
Tarif yang dikecualikan merangkumi produk penjagaan kesihatan dan kekecualian ke atas produk tersebut dilanjutkan sekali pada November 2021 dan sekali lagi pada Jun.
Barangan dalam senarai termasuk botol kecil untuk pensanitasi tangan, bekas plastik untuk monitor tekanan darah, alat mengukur paras oksigen, mesin MRI dan meja sinar-X.
UTSR berkata ia mungkin menimbang pelanjutan atau pengubahsuaian seterusnya ‘pada bila-bila masa difikirkan wajar.’
Dengan inflasi meningkat kepada paras tertinggi dalam beberapa dekad, Presiden AS, Joe Biden telah menerima tekanan untuk menamatkan tarif Seksyen 301.
Ia keluar ketika ketegangan perdagangan di antara AS dan China meningkat apabila bekas Presiden Donald Trump mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai AS$350 bilion, mendakwa amalan perdagangan tidak adil dan kecurian teknologi dan harta intelektual AS. – AFP