‘Kekerasan bukan penyelesaian isu hak wanita’

WASHINGTON, 19 OGOS – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini bahawa kekerasan dan peperangan bukan jawapan kepada kebimbangan yang meningkat terhadap hak asasi manusia wanita di Afghanistan selepas negara itu diambil alih oleh Taliban.

“Idea bahawa kami berupaya melindungi hak wanita di seluruh dunia menerusi kekerasan tentera bukan rasional,” kata Biden dalam temu bual ABC News, yang pertama sejak kemenangan Taliban yang dicetuskan oleh pengunduran tentera AS.

Merujuk kepada penduduk minoriti etnik Uighur di China dan kawasan lain dunia yang berdepan penganiayaan hak asasi manusia yang ekstrem, Biden berkata ‘cara untuk mengatasinya bukanlah dengan serangan tentera.’

“Terdapat banyak tempat di mana wanita diketepikan,” kata beliau. “Cara untuk mengatasinya adalah meletakkan tekanan ekonomi, diplomatik dan antarabangsa ke atas pihak pemerintah untuk mengubah tingkah laku mereka.”

Biden memberitahu ABC ramai wanita cuba meninggalkan Afghanistan menerusi pemindahan AS di lapangan terbang Kabul.

Presiden berkata beliau memberitahu penasihat supaya ‘membawa mereka keluar, membawa keluarga mereka keluar.’

“Kami harus mengeluarkan seberapa ramai yang mampu,” kata beliau. – AFP

Seorang tentera Taliban berjalan di hadapan kedai kecantikan dengan gambar wanita diconteng menggunakan cat di Shar-e-Naw di Kabul. Presiden Joe Biden berkata peperangan bukan jawapan kepada kebimbangan hak wanita di Afghan. – AFP