Kekuatan 2 dos vaksin menurun selepas 6 bulan

LONDON, 25 OGOS – Perlindungan daripada dua dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca semakin berkurang dalam dalam tempoh tidak sampai enam bulan, menurut kajian data aplikasi telefon hari ini, menunjukkan bahawa suntikan ‘booster’ mungkin diperlukan untuk memastikan pelindungan yang berpanjangan.

Penemuan terbaharu muncul ketika beberapa negara melakukan suntikan tambahan untuk vaksin sepenuhnya, tindakan yang dibantah oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana berjuta-juta orang di dunia belum menerima satu dos.

Vaksin Pfizer mencatatkan 88 peratus keberkesanan sebulan setelah dos kedua, tetapi perlindungannya turun menjadi 74 peratus setelah lima hingga enam bulan, menurut analisis terbaharu data dari Zoe Covid Study.

Kajian itu menggunakan data dunia nyata yang dikumpulkan melalui aplikasi telefon bimbit dengan lebih daripada satu juta pengguna aktif, yang mencatat maklumat mengenai vaksinasi dan hasil ujian mereka, yang kemudian dianalisis oleh penyelidik termasuk saintis di King’s College London.

Kajian itu memperoleh lebih daripada 1.2 juta hasil ujian dan peserta.

Perlindungan dari vaksin AstraZeneca turun dari 77 peratus sebulan setelah dos kedua menjadi 67 peratus selepas empat hingga lima bulan.

Ketua saintis di aplikasi Zoe, Profesor Tim Spector, mengatakan bahawa lebih banyak data diperlukan mengenai bagaimana keberkesanan vaksin berubah pada kumpulan usia yang berbeza.

Kes United Kingdom meningkat setelah sekatan ditarik semula pada bulan Julai lalu tetapi kemasukan ke hospital stabil sejak sebulan lalu.

Tetapi seorang profesor epidemiologi genetik di King’s College London, memberi amaran bahawa keberkesanan vaksin yang semakin lemah boleh menyebabkan lebih banyak kemasukan ke hospital dan kematian pada musim sejuk.

“Sekiranya tahap jangkitan masih tinggi, didorong oleh varian Delta yang mudah merebak dan pengurangan sekatan, senario ini boleh menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian”, katanya. – AFP

Seorang anggota paramedik memberikan suntikan ketiga vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 semalam di Holon, Israel. – AFP