Kekuatan dan kesihatan fizikal penting buat guru

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Jan – Guru-guru bukan hanya perlu mempunyai kecergasan berfikir, tetapi juga penting mempunyai kesihatan dari segi fizikal.

Sehubungan itu, Sekolah Rendah Chung Ching di sini, hari ini, telah menganjurkan program latihan fizikal mudah bagi penyertaan kalangan guru-guru sekolah tersebut.

Program latihan kira-kira satu jam itu telah dikendalikan bersama oleh Pengarah JC Muscle Building dan Fitness, Chan Yong Heng dan Yang Xiao Lan.

Chan Yong Heng memberitahu, latihan tersebut merupakan senaman ringkas bagi kecergasan tubuh badan setiap guru, selain membentuk postur badan yang betul melalui senaman berkenaan kerana setiap guru memerlukan kekuatan fizikal sepanjang mengajar setiap hari.

Menurutnya, melalui latihan itu, guru-guru telah ditunjukkan bagaimana melakukan senaman fizikal bagi membentuk postur badan yang betul seperti melakukan tekan tubi, regangan dan sebagainya.

Guru-guru perlu mempunyai kesihatan fizikal untuk mengajar dan pengetahuan asas untuk diterapkan di sekolah dan di rumah.
Guru-guru perlu mempunyai kesihatan fizikal untuk mengajar dan pengetahuan asas untuk diterapkan di sekolah dan di rumah.

Sementara itu, beberapa orang guru yang menyertai latihan tersebut pula menyatakan, menerusi latihan tersebut mereka akan mendapat pengetahuan asas dalam senaman fizikal sama ada untuk dilakukan di sekolah atau di rumah.

Menurut mereka, kecergasan fizikal serta minda adalah amat penting bagi mereka setiap hari semasa menghadapi para pelajar di kelas masing-masing.

“Kami merasakan mendapat manfaat yang berguna daripada program ini dan kami berharap setiap guru yang menyertainya akan dapat melakukan senaman ringkas dari semasa ke semasa dan kami juga merasa gembira ia diadakan di sekolah ini, demi kepentingan bersama guru-guru dan pelajar-pelajar mereka,” kata Yuan, salah seorang tenaga pengajar di sekolah tersebut.