Kekurangan air terburuk Manila

MANILA, 15 Mac – Manila telah dilanda masalah kekurangan air terburuk dalam tempoh beberapa tahun, menyebabkan banyak keluarga yang membawa baldi terpaksa menunggu selama berjam-jam untuk mengisi air dari trak tangki dan beberapa buah hospital terpaksa menolak kes-kes yang kurang penting.

Paip-paip air kering selama empat hingga 20 jam sehari di rumah-rumah separuh daripada 12 juta penduduk di Manila disebabkan kekurangan hujan dan infrastruktur yang kurang.

“Saya sudah biasa mandi dengan hanya menggunakan tujuh bekas air,” kata Ricardo Bergado kepada AFP sambil beratur dengan membawa baldi air.

Kekurangan air mula terjadi lewat minggu lepas, dengan beberapa kawasan di Manila mendapati bekalan air ke rumah mereka tiada.

Bekas air dan baldi laris di kedai-kedai dan orang ramai dilihat beratur selama beberapa jam bagi mendapatkan air dari trak tangki.

“Berbanding melakukan banyak perkara penting lain, masa kami habis bagi memastikan kami mempunyai air yang cukup,” kata Bergado, 57.

Sekurang-kurangnya lima hospital awam di ibu negeri mula mendapatkan bekalan air dari tangki air, ketika kekurangan air membawa pengehadan pesakit.

“Ini adalah isu kekurangan air paling teruk yang pernah kami alami. Ia hampir terjadi tahun lepas tetapi kami diselamatkan oleh hujan lebat yang dibawa oleh ribut,” kata pengurus Syarikat Manila Water, Dittie Galang.

Gangguan bekalan air itu mungkin berlarutan hingga Julai, ketika hujan monsun pada kebiasaannya turun dan memenuhi semula simpanan air, di mana salah sebuah daripadanya pada tahap rendah dalam temph dua dekad. – AFP

Sebahagian penduduk di Manila beratur panjang bagi mendapatkan bekalan air melalui trak tangki air kelmarin. – AFP