Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Memiliki kereta impian bagi seorang yang dalam keadaan kelainan upaya bukanlah sesuatu yang mustahil apabila Awang Muhammad Bahri bin Bohari membeli kereta BMW 118i dari Syarikat QAF Auto Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Penyerahan kunci kereta berkenaan telah disempurnakan di Bilik Pameran BMW, QAF Auto Sdn Bhd, Beribi yang diserahkan oleh jurujual BMW QAF Auto Sdn Bhd, Ampuan Mohd Anwar bin Ampuan Dr. Haji Brahim kepada Awang Muhammad Bahri yang disaksikan oleh Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Sivakumar Krishnan.
Awang Muhammad Bahri selaku peminat kereta-kereta jenama BMW menyatakan ia adalah satu impian baginya untuk memiliki kereta berkenaan.

Menurut Awang Muhammad Bahri lagi, memandu kereta tidak menjadi masalah buatnya kerana beliau dapat menyesuaikan diri di dalam kereta semasa memandu walaupun kereta beliau beli itu tanpa modifikasi di dalamnya seperti BMW 118i yang beliau miliki ketika ini.
Awang Muhammad Bahri menambah bahawa sejak BMW mula mengubah rekaan penukar gearnya, ia memudahkan lagi pemanduan dan merupakan antara sebab kenapa beliau memilih kereta BMW.
Lantas daripada itu juga, ia telah menjadikan beliau salah satu contoh kepada masyarakat di negara ini dan membuka fikiran mereka yang mana orang kelainan upaya juga boleh mencapai impian mereka.