Kekurangan cip jejas industri auto

PARIS, 28 OKT – Pada awalnya dipandang ringan oleh ketua-ketua industri auto, kini kekurangan cip komputer global semakin memburuk dan menjejaskan syarikat kilang-kilang kereta, menurut keputusan terbaharu mereka.

Stellantis dan Volkswagen hari ini masing-masing melaporkan kekurangan pengeluaran pada Julai-September sekitar 600,000 kenderaan kerana kekurangan semikonduktor, satu alat yang diperlukan dalam pelbagai sistem digunakan dalam kereta elektrik dan tradisional.

Ia menyebabkan kemerosotan 27 peratus dalam penghantaran bagi Stellantis, yang dihasilkan pada permulaan tahun ini dari Fiat-Chrysler dan Peugeot-Citroen.

Di Volkswagen penurunan dalam penghantaran kepada pelanggan adalah 24 peratus dan di GM hampir satu pertiga, manakala Ford menyaksikan penurunan jualan dalam 27 peratus.

“Tahap kekurangan itu lebih tinggi daripada yang kami jangkakan pada Ogos,” kata ketua pegawai kewangan Stellantis, Richard Palmer.

Syarikat itu sudah pun berkata kekurangan cip telah menghalangnya daripada menghasilkan 700,000 kenderaan dalam suku pertama tahun ini.

Sementara itu, Volkswagen berkata ‘gangguan dalam semikonduktor global terutamanya telah menjejaskan prestasi suku ketiga’.

Kedua-dua syarikat terpaksa untuk menghentikan pengeluaran di beberapa buah kilang disebabkan kekurangan cip. – AFP

Gambar fail bertarikh 26 Mac menunjukkan Volkswagen baharu dan kereta elektrik di Wolfsburg. – AFP