Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kekurangan fizikal bukan halangan raih kejayaan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Dayang Rabi’atul ‘Adawiah

    Kehidupan ini diibaratkan satu putaran waktu. Susah dan senang, usia muda dan tua, masa lapang dan sibuk, kaya dan miskin, sihat dan sakit, hidup dan mati, kitaran ini saling melengkapi dalam setiap kehidupan.

    Begitu juga diibaratkan dengan kehidupan seorang hamba bergelar manusia. Lahir sahaja kita ke dunia ini, maka bermulalah kehidupan sebagai seorang hamba Allah yang menggenggam amanah melaksanakan kewajipan untuk sentiasa patuh pada perintah dan laranganNya sekali gus berusaha memakmurkan bumi yang hanya sebuah persinggahan ini dengan nilai-nilai kebaikan sebagai persediaan bekalan di kehidupan abadi nanti.

    Hakikatnya, setiap suka dan duka yang berlaku kita perlu yakin dan percaya di sebaliknya ada terselit hikmah yang cukup besar untuk direnung dengan jiwa yang tulus. Oleh itu, selayaknya, kita mestilah sentiasa mendidik diri untuk bersangka baik terhadap Allah SWT dalam setiap keadaan yang berlaku walaupun perkara itu tidak baik pada pandangan mata kita.

    “Saya tidak pernah merasa kekurangan diri ini sebagai satu kekurangan. Ini kerana saya meyakini Allah SWT Maha Adil dalam menciptakan segala yang dikehendakiNya. Pastinya tiada sesiapa pun yang sempurna selagi kita bergelar hamba Allah yang hanya menghuni di bumi yang fana ini.

    “Ikhlas menerima segala ketentuanNya adalah salah satu kunci ketenangan,” itulah luahan tulus daripada seorang graduan istimewa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dayang Rabi’atul ‘Adawiah binti Haji Mohamed Nor, yang berjaya membuktikan kelainan fizikal pada diri bukan penghalang menggenggam segulung ijazah sarjana muda, semasa berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini.

    Dayang Rabi’atul ‘Adawiah bersama kedua ibu bapa dan saudara perempuannya yang pastinya merupakan insan-insan terdekat yang banyak memberikan sokongan yang tinggi atas pencapaian yang diraih selama ini.
    Kenangan Dayang Rabi’atul ‘Adawiah ketika bersama rakan-rakan seperjuangannya di UNISSA di mana beliau menyifatkan kekurangan diri tidak pernah melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadikan itu sebagai motivasi untuk membukti beliau boleh berjaya seperti insan normal lain.

    Takkan luntur semangat diri

    Insan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Halal dan minor dalam Ekonomi Islam itu menyifatkan kekurangan diri tidak pernah melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadikan ia sebagai motivasi untuk membukti dirinya boleh berjaya seperti insan normal lain.

    Mengimbas kembali detik perjalanan sebelum memasuki alam universiti, Dayang Rabi’atul ‘Adawiah memulakan sesi persekolahan pertama di Sekolah Rendah Iqra’ pada tahun 2004 sehingga 2010 dan meneruskan pembelajaran peringkat menengah dan pra-universiti di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Pusat Tingkatan Enam Meragang dengan mengambil tiga subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Syariah dan Perniagaan.

    “Ketika sedang menanti keputusan Brunei Cambridge G.C.E ‘A’ Level, saya mula meneroka beberapa kursus yang layak berdasarkan subjek-subjek yang diambil. Dari situlah saya mula tertarik untuk mengembangkan bidang yang berunsurkan keagamaan lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu UNISSA ada menawarkan kursus yang menarik dan ia merupakan kursus baharu pada ketika itu iaitu Sains Halal.

    “Maka bermula pada detik itulah saya memilih UNISSA sebagai institusi pengajian lanjutan pendidikan saya,” kongsinya.

    Mengulas mengenai kursus Sains Halal yang diterokainya di UNISSA itu, beliau berkata dalam kursus berkenaan ia bukan sahaja mengetengahkan isu halal haram dalam pemakanan tetapi ia juga menjurus kepada produk-produk lainnya.

    “Di sini, saya ingin memberikan sedikit penerangan mengenai jurusan Sains Halal di mana sebenarnya ia terdapat banyak cabang.

    “Mungkin daripada penglihatan orang ramai bidang ini hanya tertumpu kepada makanan halal akan tetapi ia adalah lebih daripada itu.

    Seperti yang saya telah pelajari di UNISSA, ianya termasuklah Pengurusan Penyembelihan Halal, Pelancongan Halal, dan Logistik Halal iaitu berkaitan pemprosesan dari Farm to Fork,” katanya.

    “Begitu juga pembelajaran itu dilaratkan ke aspek Fatwa Halal, Dasar, Piawaian dan Peraturan Halal serta Industri Restoran Halal menjurus kepada logo halal, sijil dan permit halal, dan cara pengesahan untuk mendapatkan syarat-syarat halal khususnya bagi premis-premis dan juga restoran.

    “Dengan pencapaian pendidikan yang diraih menerusi jurusan ini, pastinya ia mewujudkan peluang terbaik bagi diri saya bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan dengan isu-isu kontemporari semasa yang berkaitan dengan halal,” kongsinya.

    “Sememangnya, menerusi jurusan ini, ia telah menitikberatkan akan kepentingan mempunyai pengetahuan mengenai halal dan haram secara meluas sebagai suatu keperluan bagi kehidupan kita sehari-hari sebagai umat Islam yang berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB).

    “Pada waktu yang sama, dengan adanya ilmu dan kemahiran yang diperolehi ini juga akan mengembang luaskan lagi industri halal dalam menjadikan negara ini sebagai hab halal,” ujarnya yang juga berjaya membuat penyelidikan tahun akhir berjudul Factors Influencing Purchase Intention of Halal Local Food Products during COVID-19.

    Kemanisan di sebalik cabaran

    Dalam pada itu, Dayang Rabi’atul ‘Adawiah turut meluahkan pastinya setiap perjalanan yang ditempuhi itu memiliki pasang surutnya, lebih-lebih lagi ketika beradaptasi dengan impak pandemik COVID sehingga berlakunya perubahan yang drastik dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.

    “Cabaran yang telah saya hadapi ialah apabila pengajaran dan pembelajaran telah dilakukan secara dalam talian yang mana pada awalnya ia dirasai begitu susah untuk fokus berbanding daripada pembelajaran secara bersemuka.

    “Ada kalanya internet akan menjadi satu masalah jika berlakunya gangguan tertentu seperti lagging sehingga boleh menyebabkan ketinggalan beberapa pengisian pelajaran apabila sudah dimulakan oleh pensyarah itu sendiri,” ujarnya.

    Tambahnya, ketika proses menyiapkan penyelidikan tahun akhir, beliau juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan bahan rujukan seperti buku-buku kerana sebahagian perpustakaan ada yang terpaksa ditutup buat sementara waktu dan banyak bersandarkan rujukan dari jurnal dan artikel-artikel dalam talian.

    “Namun di sebalik cabaran yang dihadapi, pasti terselit kemanisan hikmah yang berlaku.

    “Berbekalkan kesabaran dan kecekalan hati, itulah antara prinsip yang disemai dalam diri demi terus berjuang dalam meniti pengajian saya sehingga berjaya memperoleh Kepujian Kelas Kedua Atas dalam penganugerahan ijazah sarjana muda ini.

    “Kedua ibu bapa saya juga sentiasa memberikan sokongan yang tinggi untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana ini,” katanya dengan nada penuh kesyukuran dan turut bercita-cita untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya, semasa mengakhiri pertemuan bersama penulis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...