MOSCOW, 1 MEI – Dengan penutup muka habis dijual di farmasi dan pasar raya, rakyat Rusia yang risau mengenai koronavirus beralih ke pasaran gelap dalam talian untuk mencari bekalan.
Dengan Amerika Syarikat dan Timur Eropah beralih secara was-was untuk meringankan sekatan yang dikenakan semasa pandemik, Rusia telah menyaksikan peningkatan dalam jangkitan yang menyebabkan kes koronavirus melebihi 100,000 pada minggu ini.
Angka kematian turut meningkat kepada 1,000 orang dan pegawai telah melanjutkan langkah-langkah perintah berkurung kepada pertengahan bulan Mei.
Pihak berkuasa menyarankan untuk memakai penutup muka untuk membantu mencegah penularan wabak, tetapi rakyat Rusia dan syarikat-syarikat yang ingin melindungi pekerja mereka dan juga pekerja kesihatan turut bergelut untuk mencarinya.
“Terdapat kekurangan peralatan perlindungan di semua tempat. Hampir kesemua hospital mempunyai masalah dan kebanyakannya telah ditutup kerana situasi kritikal,” kata Andrei Konoval, presiden bersama kesatuan sekerja doktor ‘Action’.

Pekerja-pekerja kesihatan yang dibayar dengan gaji yang rendah telah dipaksa untuk membelanjakan wang mereka sendiri untuk membeli bekalan, katanya, ‘sementara ramai yang hanya mencuci atau menggunakannya semula dalam tempoh yang lama’.
Natalya Eismont, seorang doktor di wilayah Sverdlovsk di pergunungan Ural, memberitahu AFP terdapat kekurangan penutup muka yang amat teruk di antara pihak perubatan.
“Saya berikan peralatan saya semuanya kepada rakan doktor supaya mereka boleh menjahit penutup muka mereka sendiri,” katanya.
Boris Chuadze, ketua doktor di sebuah klinik persendirian di Moscow yang merawat pesakit koronavirus, memberitahu AFP semasa lawatan ke pusat perubatan mereka minggu lalu bahawa kakitangan perubatan menyedari peralatan tersebut ada di pasaran gelap.
“Ramai orang yang meraih keuntungan dari sana,” katanya. – AFP