Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kekurangan salji jejas aktiviti luncur Nordic

    WINTHROP, WASHINGTON – Buat pertama kali dalam 32 tahun, penganjur Festival Ski Rentas Desa Rendezvous di Yellowstone Barat, Montana, terpaksa membatalkan acara tradisional musim permulaan ski disebabkan kekurangan salji.

    Kira-kira 300 batu dari tempat itu, Pusat Nordic Soldier Hollow di Utah menawarkan aktiviti ski pada November dengan membina sistem pembuatan salji sementara operasi kecil-kecilan di Vermont berupaya menambah dua kali ganda hari meluncur beberapa hari selepas pemasangan paip baharu untuk membekalkan saluran kepada peniup salji yang menggunakan air yang banyak. Ia tidak dapat dilaksanakan di Methow Trails di utara Washington, yang tidak dapat meliputi laluan ski seluas 200 kilometer dengan salji tiruan, sebaliknya mereka melakukan tarian salji dan berusaha memindah laluan ke tempat lebih tinggi jika perlu.

    Salji belum berhenti turun tetapi pastinya ia tidak bertimbun seperti sebelumnya di tengah perubahan iklim dan ia menjejas sukan yang melihat pertumbuhan meleset apabila COVID-19 melanda pada musim sejuk 2020.

    Aktiviti luncur Nordic dengan segera menjadi isu tisu tandas baharu – ia sukar dicari dan laris dijual di kedai.

    “Apa yang dilakukan oleh COVID-19 adalah ia mendorong orang keluar,” kata Reese Brown, pengarah eksekutif Persatuan Kawasan Ski Rentas Desa di Vermont. “Ia membawa ramai orang untuk menyertai aktiviti rentas desa luncur disebabkan ia merupakan sukan musim sejuk terbaik.”

    Sekumpulan peluncur rentas desa meluncur di laluan yang baru diubah suai di Taman Salji Cabin Creek berhampiran Easton, Washington. – AP

    Mark Waechter, pemilik Nordic Ultratune, kedai ski di Winthrop, Washington, berdiri bersama kumpulan ski baharu yang tiba untuk musim luncur sejuk 2021-22. – AP

    Peralatan pembuatan salji terletak di sepanjang laluan menunggu suhu sejuk di Pusat Soldier Hollow Nordic, tapak OLimpik Musim Sejuk 2002 di Midway, Utah. – AP

    Namun, perubahan iklim menjadikan masa depan acara luncur tidak pasti, daripada litar Piala Dunia elit dan tempat peranginan ke operasi baharu yang sibuk pada hujung minggu dengan peluncur rekreasi. Bagi pusat rentas desa, suhu lebih panas bermakna lebih kerpasan turun dalam bentuk hujan dan bukannya salji, sekali gus memaksa mereka beralih kepada peralatan pembuatan salji untuk menutup laluan mereka.

    Kekurangan air dan kos menjadikan opsyen tersebut sukar untuk sesetengah orang, terutamanya di Amerika Barat. Satu kajian baharu meramalkan negeri pergunungan akan berdepan masalah ‘salji sedikit kepada ketiadaan salji’ dalam tempoh 35 hingga 60 tahun sekiranya pelepasan gas rumah hijau berterusan pada tahap sekarang.

    Masalah tersebut telah pun menjejas atlet terkenal yang menghabiskan lebih banyak masa di salji.

    Kekurangan salji menjadikan latihan pada awal musim sukar untuk kebanyakan pelumba ski ketika mereka bersedia untuk Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada bulan depan. Sekumpulan anggota Pasukan Ski AS mengunjungi Jerman pada musim luruh untuk berlatih dalam terowong ski.

    “Dalam acara rentas desa ski, kami melihat kesan perubahan iklim di bandar yang kami kunjungi,” kata pemegang pingat emas Olimpik Jessie Diggins dari Afton, Minnesota. “Terdapat tahun-tahun di mana mereka hanya mempunyai salji buatan manusia dan meluncur sejauh 2 kilometer di gelung hamster kecil.”

    Apabila pasukan berlatih di sebuah bandar kecil di utara Finland yang terjamin salji pada pertengahan November, laluan ski adalah terhad.

    “Kami melihat aktiviti luncur di atas salji buatan manusia yang kotor dan terdapat lumut dan bunga ungu yang berkembang di tepi laluan,” kata Diggins. “Ia nampak tidak betul dan rasa tidak betul.”

    Methow Trails, di bahagian timur gunung Cascade, mempunyai sistem laluan rentas desa terbesar di Amerika Utara, dengan laluan sepanjang 124 batu yang merentasi bandar Winthrop dan Mazama disebabkan perjanjian dengan lebih 200 pemilik tanah negeri, persekutuan dan persendirian.

    Operasi itu merupakan penyumbang besar kepada ekonomi bersamaan dengan AS$12 juta semusim, menurut James DeSalvo, pengarah eksekutif sistem laluan. “Kesan drastik akan timbul sekiranya salji cair.”

    Operator Methow telah menghabiskan bertahun-tahun membangun-kan pelan luar jangka untuk musim sejuk dengan salji sedikit atau tanpa salji, tetapi pelan berkenaan tidak termasuk pembuatan salji. Sistem laluan ski adalah terlalu besar. DeSalvo berkata air adalah berharga dan kawasan sekitarnya mempunyai moratorium mengenai penggalian telaga.

    Satu opsyen adalah memindah laluan ke tempat lebih tinggi, katanya, mengambil kesempatan ke atas jalan pembalakan lama.

    Sementara bukan opsyen di semua tempat, pembuatan salji telah memberikan nafas baharu kepada beberapa kawasan ski yang melihat salji lenyap.

    Beberapa pusat Nordic yang lebih kecil di Vermont berupaya mendirikan sistem pembuatan salji dengan harga AS$65,000 hingga AS$80,000, kata Brown.

    Mereka membabitkan meniup salji menjadi timbunan dan menggunakan pemunggah untuk memindahkan salji di sekitar laluan.

    Luke Bodensteiner, pengurus besar pusat Soldier Hollow di mana acara luncur rentas desa dan perlumbaan biatlon diadakan semasa Olimpik Bandar Salt Lake 2002, berkata perubahan iklim telah mengurangkan salji yang dilihat mereka setiap tahun.

    Utah berharap dapat menganjur Olimpik Musim Sejuk pada 2030 atau 2034. Soldier Hollow telah melabur peralatan pembuatan salji canggih untuk tujuan itu. Ia membantu apabila laluan berada pada ketinggian 5,900 kaki dengan suhu lebih sejuk. Namun, perubahan iklim telah memberikan kesan.

    “Musim sejuk semula jadi pastinya menjadi semakin singkat,” katanya. “Kami mungkin kehilangan dua hingga tiga minggu musim meluncur di salji asli pada awal dan akhir tahun sejak tempat ini ditubuhkan.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...