Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kekurangan tenaga kerja jejas industri ternakan ayam pedaging

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Jumlah pengeluaran industri ayam pedaging di Negara Brunei Darussalam sedikit terjejas antaranya disebabkan oleh kekurangan tenaga pekerja semasa negara mengalami gelombang ketiga penularan jangkitan COVID-19.

    Salah satu pengeluar utama telur dan ayam di negara ini iaitu Hua Ho Agricultural Farm yang telah menyumbang 8.71 peratus keluaran bagi industri tersebut pada tahun 2021, kini turut menghadapi isu kekurangan tenaga pekerja.

    Semasa ditemu bual baru-baru ini, pengarahnya, Lau How Teck, berkata, ketika ini pihaknya berdepan kekurangan tenaga pekerja untuk menjaga ayam kerana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menghasilkan telur dan ayam yang berkualiti, yang memerlukan tenaga kerja untuk sentiasa mengawasi ternakan ayam tersebut.

    “Hasil pengeluaran mengalami kemerosotan sebanyak 10 peratus disebabkan isu pengurusan akibat kekurangan tenaga kerja,” katanya sambil menambah bahawa jumlah pengeluaran telur ayam turut terjejas.

    Semasa perayaan Tahun Baharu Cina, katanya, kakitangan ladang berkenaan telah disahkan positif yang menyebabkan mereka terpaksa menjalani Perintah Kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat.

    Masalah ketiadaan pekerja juga menyebabkan tidak ada yang memberi makan ayam ternakan hingga menyumbang kepada kerugian terhadap jumlah produksi telur sebanyak 350,000 (30,500 biji telur untuk 10 hari).

    “Meskipun pekerja kami kembali bekerja selepas dua minggu, pihak kami masih kekurangan penghasilan telur sebanyak 10,000, kerana tahap kesihatan ayam yang terjejas dan kebanyakannya sudah tidak lagi dapat menghasilkan telur,” kongsinya lagi.

    Menyentuh mengenai pengeluaran daging ayam pula, Lau How Teck menyatakan bahawa kekurangan itu juga disebabkan kekurangan tenaga kerja di mana ladang ternakannya hanya mempunyai 150 pekerja, kurang 70 orang pekerja yang pulang ke negara masing-masing disebabkan pas pekerja yang telah tamat tempoh.

    Ia akan bertambah teruk lagi apabila 20 pekerjanya akan turut meninggalkan negara ini pada bulan-bulan mendatang.

    Sementara itu, peningkatan harga ayam adalah disebabkan kenaikan harga makanan ayam kerana kos pengangkutan serta bahan dalam makanan ayam tersebut, jelas Lau How Teck lagi.

    Beliau seterusnya berharap agar pihak kerajaan akan dapat membantu pihaknya dalam beberapa isu yang dihadapinya terutamanya berkaitan tenaga kerja bagi meneruskan operasi penternakan dengan lancar.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mufaiirif Farming Sdn Bhd, Gilbert Ong turut mengongsikan isu permasalahan yang sama yang dihadapi oleh pihaknya pada ketika ini disebabkan kekurangan tenaga kerja.

    Kekurangan kakitangan untuk menguruskan ayam ternakan di ladang mereka boleh menjejaskan jumlah produksi ayam yang mana mereka membekalkan sebanyak 7,000 ekor ayam setiap hari dan menjangkakan peningkatan kepada 8,000 ekor ayam setiap hari menjelang bulan Mei depan.

    Harga makanan ayam yang meningkat secara berterusan sejak 16 bulan lepas turut mendorong kepada peningkatan harga ayam, tambahnya lagi.

    Mengikut statistik tahun 2021, jumlah keluaran industri ayam pedaging telah menunjukkan peningkatan sekitar 16 peratus iaitu daripada 26,364.82 MT pada tahun 2020 kepada 30,587.09 MT pada tahun 2021, yang merupakan tahap keluaran paling tinggi yang pernah dicapai oleh negara setakat ini.

    Ini bermakna negara telah merekodkan peningkatan tertinggi untuk dua tahun berturut-turut di mana keluaran tertinggi dapat dilihat pada sekitar bulan Mac hingga bulan Mei yang mana adalah untuk menampung permintaan semasa umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...