Kelab EPL tidak mahu bertanggungjawab jika pemain dijangkiti COVID-19

LONDON, 4 MEI – Gary Neville menuduh kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) ‘kecut’ untuk secara terbuka menyokong rancangan untuk memulakan semula musim ini.

Pihak-pihak berkepentingan EPL telah mengadakan perjumpaan pada Jumaat lalu untuk membincangkan bagaimana untuk menamatkan permainan musim ini, dengan laporan mengatakan beberapa buah kelab mahu musim ini ditamatkan kerana pandemik dan selebihnya mahu untuk menghabiskan baki 92 perlawanan.

Bekas pemain pertahanan Manchester United percaya kelab-kelab tidak mahu bertanggungjawab jika pemain mereka dijangkiti koronavirus jika EPL disambung semula.

Musim liga Perancis dan Belanda telah membuat keputusan untuk menamatkan musim mereka kerana krisis kesihatan sementara itu, EPL menyasarkan untuk menyambung semula musim mereka pada bulan Jun, tanpa menyebutkan tarikh khusus.

Mengaku perlu ada lebih banyak komen awam dari kelab, Neville menulis di Twitter: “EPL mengalami mimpi buruk. Mereka berkata kesihatan diutamakan tetapi tidak lama selepas itu mereka berkata ‘Kita mesti menyambung semula’.

“Saya akan lebih menghormati mereka jika mereka berkata ‘Kami menerima peningkatan risiko kesihatan tetapi itu adalah sesuatu yang kami sanggup lakukan’. Namun mereka tidak mahu kerana terlalu kecut”.

Apabila Neville ditanya apa akan berlaku jika seseorang mati disebabkan menyambung semula perlawanan, dia berkata: “Sebab itu kita tidak mendengar seorang ketua pegawai eksekutif, atau pengerusi atau pemilik atau eksekutif tidak membuka mulut mereka untuk menyokong menyambung semula perlawanan! Secara ringkasnya mereka takut untuk bertanggungjawab atau dipersalahkan jika berlaku kematian.” – AFP

Gary Neville percaya kelab-kelab tidak mahu bertanggungjawab jika pemain mereka dijangkiti koronavirus jika EPL disambung semula. – Agensi