MILAN, 14 Dis – Juara bertahan Juventus akan menentang pesaing tetangga Torino tatkala pasukan-pasukan kuat Itali kembali ke gelanggang sendiri bagi meneruskan persaingan Serie A hujung minggu ini selepas melalui minggu yang sukar di Eropah.
Juventus berkunjung ke Stadio Olimpico dalam usaha untuk mempertahankan kelebihan lapan mata di persada Serie A selepas rekod tanpa kalah sepanjang tahun di gelanggang luar berakhir dengan kekalahan mengejut 2-1 dalam persaingan Liga Juara-Juara kepada pasukan Young Boys di Bern.
Kegemilangan Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya terhenti di Switzerland tetapi kekalahan itu tidak menyedihkan memandangkan Juventus masih menjuarai kumpulan H mengatasi Manchester United yang tewas 2-1 di Valencia.
Napoli dan Inter Milan tersingkir dari persaingan elit Eropah ketika Roma yang sudah mara ke peringkat kalah mati, tewas 2-1 di Viktoria Plzen. – AFP
































