Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 10 Feb – Kelab Lion Belait dengan kerjasama Persatuan Infrastruktur Pertahanan British Garrison Seria telah mengendalikan projek bersama dengan menyumbangkan peralatan taman permainan bagi Sekolah Chung Hwa, Labi, di sini.
Peralatan permainan terpakai tersebut yang masih dalam keadaan baik disumbangkan bagi keperluan taman permainan sekolah tersebut dan ia antara lain bertujuan untuk membantu memberikan kemudahan kepada kalangan pelajar di sekolah berkenaan dan membantu menyumbangkan kemudahan yang diperlukan bagi pelajar.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut, hari ini, ialah wakil daripada Persatuan Infrastruktur Pertahanan British Garrison Seria, WO1 Ashok Rai dan Naib Presiden Kelab Lion Belait, Lion Terry Thoo kepada wakil Sekolah Chung Hwa, Labi, Lee Ching Hua.
Peralatan permainan tersebut adalah bagi memberikan kemudahan kepada kalangan pelajar di sekolah berkenaan bermain pada waktu rehat dan ia dihasratkan akan dapat menambahkan semangat bagi pelajar sekolah itu untuk hadir ke sekolah dan meningkatkan ketekunan pembelajaran mereka.
