Kelab Lion BSB bantu golongan terjejas akibat pandemik

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 OKT – Kelab Lion Bandar Seri Begawan (BSB) telah meneruskan kempen sumbangan mereka untuk golongan yang terjejas mata pencarian akibat pandemik COVID-19 yang berlarutan.

Salah satu kumpulan yang terjejas adalah tukang gunting rambut yang mana kebanyakannya dilarang daripada menyediakan perkhidmatan sejak langkah kawalan ketat terbaharu dikuatkuasakan.

Sehubungan itu, Kelab Lion BSB telah melancarkan kempen membeli barangan yang terdiri daripada pelbagai keperluan makanan harian, yang dibungkus dan dihantar kepada tukang gunting rambut yang menetap di kawasan Rimba dan Gadong.

Hadir menyerahkan sumbangan kepada penerima ialah bekas presiden kelab, Sushell Kaur.

Sementara itu, satu lagi kumpulan, pekerja industri salun kecantikan juga menerima sumbangan barangan keperluan makanan daripada salah seorang ahli kelab, Diana.

Kelab berkenaan berharap sumbangan tersebut dapat meringankan bebanan mereka yang terjejas akibat pandemik serta memberi dorongan kepada orang lain untuk menderma kepada mereka yang memerlukan pada masa yang sukar ini.

Tukang gunting yang terjejas menerima sumbangan daripada Kelab Lion BSB. – Gambar serahan Kelab Lion BSB