Kelab Lions Belait anjur pertandingan melukis poster

Oleh Daniel Lim

BELAIT 13 SEPT – Sebagai sebahagian daripada acara tahunan untuk mendorong pelajar dari seluruh dunia mempamerkan bakat seni mereka dan memberi inspirasi kepada dunia melalui seni dan kreativiti, kelab Lions Belait telah mengadakan Lions International Peace Poster Contest 2020-2021 untuk para pelajar di Daerah Belait.

Diadakan di auditorium Sekolah Menengah Chung Ching, Seria kelmarin, peraduan itu menyaksikan seramai 14 orang pelajar dari pelbagai sekolah yang dijemput di Daerah Belait mengambil bahagian, yang merangkumi Sekolah Chung Hua Kuala Belait, Sekolah St John, Sekolah St James, dan Sekolah Chung Ching Seria.

Dengan tema untuk pertandingan tahun ini ialah Peace Through Service, gambar yang dilukis oleh para pelajar dinilai berdasarkan tema tersebut, dan keasliannya serta bagaimana pelajar memilih untuk mengekspresikannya.

Muncul tempat pertama pada pertandingan tersebut ialah Kimberly Goh Yi Yuen dari Sekolah Chung Ching yang berjaya memenangi hati para hakim dengan membawa pulang piala dan sijil penyertaan yang diterima oleh guru perwakilan yang hadir.

Sementara itu, Nicole Anndrea Jaena dari Sekolah St John dan Amelie Megan Lo Mei Xing dari Sekolah Chung Ching juga berjaya menawan hati para hakim dengan poster mereka setelah masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga yang turut menerima trofi dan sijil.

Selain itu, Amanda Layun Sigar, Aleya anak Claxairi, Dayang Nur Naya Alyaa binti Haji Mohd Nizam, Koh Zhi Ying dan Olivia Yi dari Sekolah Chung Hua, telah menerima hadiah saguhati untuk penyertaan kreatif mereka dalam peraduan, sementara semua pelajar yang mengambil bahagian juga menerima sijil penghargaan.

Hadir untuk menyerahkan hadiah kepada pemenang dan juga penerima hadiah sagu hati, Pentadbir Kelab Lions, Phyllis Jong yang juga ketua penganjur untuk pertandingan tahun ini.
Turut hadir ialah Presiden Lions Alan Chee, dan turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa kelab serta ahli kelab.

Dengan peraduan yang diadakan di seluruh dunia, pemenang pertandingan yang diadakan di Daerah Belait akan terus mewakili dan bertanding di peringkat daerah serta bertanding dalam pertandingan serantau dengan poster bertema lain yang serupa dibuat oleh pelajar dari negara lain.

Salah seorang peserta yang memenangi Pertandingan Lions International Peace Poster 2020-2021.