Kelab Lions Belait, BSB lantik jawatankuasa baharu

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 21 SEPT – Kelab Lions Belait bersama Kelab Lions Bandar Seri Begawan, malam tadi, telah bersama-sama mengadakan majlis pelantikan dan malam penghargaan bagi presiden baharu dan ahli-ahli jawatankuasa sesi 2020-2021 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel V-Plaza.

Selain kehadiran ahli dari kedua-dua kelab berkenaan, majlis turut menjemput beberapa orang yang telah menyokong aktiviti-aktiviti kelab dalam usaha untuk memberi balik kepada masyarakat, termasuk perwakilan dari Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB), Kelab Rotary Belait dan Restoran Makanan Laut Brotherhood.

Ahli-ahli Kelab Lions Antarabangsa juga menyertai majlis menerusi panggilan Zoom, termasuk District 308-A2 Governor Roland Chieng yang turut merasmikan majlis di mana presiden dan ahli-ahli secara rasmi dilantik ke dalam jawatan masing-masing.

Presiden Kelab Lions Belait, Alan Chee dalam ucapannya mengalu-alukan semua orang ke Majlis Pelantikan Bersama dan Malam Penghargaan Kelab kali pertama yang menurutnya diadakan bagi memastikan bahawa tradisi penting berkenaan dikekalkan.

“Pada tahun ini, kami sangat berbesar hati disertai oleh kelab penaja kami, Kelab Lions Bandar Seri Begawan dalam majlis pelantikan dan saya sangat berbesar hati dilantik menjadi presiden dalam tahun fiskal ini,” ujarnya.

Penyerahan tukul melambangkan penyerahan kuasa kepada presiden baharu Kelab Lions Belait.

Beliau seterusnya berkata, sementara pandemik telah menjejaskan perjalanan keluar negara untuk memberi bantuan, situasi ini juga memberikan peluang-peluang baharu untuk menumpukan dalam menganjurkan lebih banyak projek di dalam negara bagi membuka lebih banyak pertalian dan cara untuk membantu masyarakat tempatan.

Majlis diikuti dengan majlis pelantikan pegawai kabinet daerah bagi tahun fiskal 2020-2021 oleh Roland Chieng yang menyertai majlis menerusi panggilan Zoom dari Malaysia.

Ini diikuti dengan penyerahan tukul kayu yang melambangkan penyerahan kuasa daripada mantan presiden kepada presiden baharu, yang diserahkan kepada Alan Chee oleh Roland Chieng yang diwakili oleh Immediate Past President (IPP) Joseph Teo.

Begitu juga IPP Sunil Kumar Ramchandani yang secara simbolik menyerahkan tukul kayu kepada presiden baharu Kelab Lions BSB, Sushell Kaur.

Majlis turut merupakan peluang untuk mengetengahkan dan menghargai usaha, kerja keras dan dedikasi ahli-ahli Lions sepanjang tahun fiskal lalu dalam menggerakkan matlamat kelab untuk memberikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, dengan penyampaian pelbagai anugerah.

Ini termasuk Anugerah Khidmat Lama 50 Tahun, Anugerah Setiausaha dan Bendahari bagi 2019-2020, Sijil Penghargaan Presiden, Anugerah Khidmat Unggul Presiden, Lion Cemerlang dan Anugerah Penghargaan Kelab yang disampaikan kepada para penerima oleh Joseph Teo dan Alan Chee.