Kelab Lions Belait rai ulang tahun ke-43

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 20 DIS – Sempena ulang tahunnya yang ke-43, Kelab Lions Belait telah mengadakan majlis perhimpunan makan malam tahunan yang berlangsung di Rooftop Cafe, Hotel V-Plaza, Kuala Belait, malam tadi.

Selain meraikan ulang tahun kelab, perhimpunan berkenaan juga merupakan peluang untuk melantik secara rasmi ahli-ahli baharu di samping mengimbas kembali tahun 2019 serta menghargai dan mengetengahkan pelbagai usaha dan aktiviti yang telah dikendalikan oleh kelab berkenaan serta kumpulan-kumpulan yang bekerjasama dengan mereka, yang menghulurkan tangan dalam membantu mereka yang memerlukan di Brunei dan luar negara.

Presiden Kelab Lions Belait, Joseph Teo dalam ucapan pembukaannya menekankan bahawa kelab berkenaan telah diberi piagam pada 14 Disember 1976 dengan bantuan Kelab Lions Bandar Seri Begawan.

“Kita berkembang daripada 22 orang ahli kepada 37 orang ahli. Pertumbuhan keahlian kita tidak besar tetapi merangkumi ahli yang dedikasi dan berkualiti yang sanggup memberi
khidmat. Dan dengan kepimpinan baik serta sokongan daripada semua ahli, kelab kita terus berkembang,” tambahnya.

Majlis perhimpunan berkenaan telah menyaksikan majlis induksi bagi ahli baharu iaitu Phyllis Jong atas sokongan Lion Keith Wong, yang telah dilantik ke kelab berkenaan oleh tetamu khas, Mantan Gabenor Daerah, Mary Law.

Kemudian, Lion Keith Wong menyerahkan ves dan pin kelab kepada ahli baharu sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan Club Banerretes kepada beberapa rakan projek yang telah membantu kelab dalam Projek Alam Sekitar dan Kesihatan di Rumah Orang-orang Tua, Seria, baru-baru ini.

Kemuncak majlis adalah acara memotong kek ulang tahun ke-43 sebelum menikmati hidangan.

Ahli baharu menerima sijil keahlian daripada Mary Law.
Gambar ramai mereka yang hadir pada majlis sambutan berkenaan.