Kelab Lions ceriakan warga emas sempena Perayaan Kuih Bulan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 7 OKT – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk membantu masyarakat yang memerlukan di seluruh Daerah Belait, Kelab Lion Belait telah meneruskan aktiviti amalnya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Salah satu aktiviti yang dijalankan adalah bersempena Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh pada 21 September lalu di mana beberapa orang ahli kelab berkenaan bersama Brotherhood Seafood Paradise Restaurant telah mengunjungi Rumah Orang Tua di Seria untuk menceriakan suasana perayaan pada masa yang mencabar bagi warga emas berkenaan.

Presiden kelab berkenaan, Johnny Cheong bersama mantan presiden, Joseph Teo telah berkunjung ke rumah orang-orang tua berkenaan untuk menyampaikan beberapa hidangan dan kuih bulan kepada warga emas, yang telah diterima oleh wakil-wakil mereka.

Sementara kelab berkenaan tidak dapat meraikan perayaan berkenaan sepenuhnya disebabkan situasi semasa, mereka tetap menyampaikan ucapan selamat kepada warga emas tersebut dengan harapan bahawa tindakan kecil tetapi bermakna itu akan menyerikan lagi hari mereka.

Dalam pada itu, kelab berkenaan juga telah berjaya melaksanakan projek baharu iaitu pengagihan pelitup muka terutamanya kepada pekerja-pekerja di tepi jalan dan buruh-buruh.

Matlamat projek berkenaan adalah untuk memastikan bahawa pekerja tepi jalan dan buruh tidak hanya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan untuk membendung penularan COVID-19, malah mendidik dan menggalakkan mereka untuk memakai pelitup muka terutamanya di tempat-tempat awam.

Johnny Cheong dan Joseph Teo menyampaikan sumbangan untuk menceriakan warga Rumah Orang-orang Tua di Seria. – Gambar serahan Kelab Lions Belait