Kelab milik Beckham mulakan debut

NEW YORK, 27 FEB – Impian David Beckham untuk melancarkan sebuah pasukan bola sepak di Liga Utama Bola Sepak (MLS) bakal jadi kenyataan Ahad ini di mana Inter Miami akan membuat debut perlawanan pembukaan menentang Los Angeles FC (LAFC).

Perjalanan enam tahun yang penuh dengan liku-liku dan kehampaan akan dilupakan apabila pasukan yang ditubuhkan boleh turun bermain di stadium LAFC, Banc of California.

Bercakap kepada media di New York kelmarin, Beckham mengakui bahawa beliau beberapa kali risau mengenai perancangan beliau untuk menubuhkan pasukan tersebut terkubur.

Tetapi bekas pemain England dan Manchester United tersebut berkata dengan kesungguhan untuk membina sebuah legasi yang berkekalan di Amerika Syarikat telah membantu beliau meneruskan impian tersebut.

“Kita semua mempunyai keraguan dan ramai yang meragui kami,” Beckham berkata kelmarin.

“Pernah satu ketika, saya duduk di rumah dan kami sedang bertelefon dengan pesuruhjaya (MLS), Don Garber.

“Beliau berkata kepada kami betapa sukarnya ia akan berlaku dan saya bersetuju. Itulah masanya apabila kami berkata: ‘Secara jujurnya, adakan kita akan berjaya melakukannya?’

“Tetapi saya ingat menerima e-mel dari keluarga Mas untuk melihat sama ada terdapat minat untuk menjadi sebahagian dari kelab, jadi kami menghubungi Jorge dan ia menjadi rakan impian kami. Ia menjadi titik perubahan buat saya,” kata Beckham.

Inter Miami akan bermain perlawanan pertama mereka di tempat sendiri di stadium baharu mereka yang boleh menampung 20,000 penonton di Fort Lauderdale pada 14 Mac nanti, menentang bekas kelab Beckham iaitu LA Galaxy. – AFP

Pemilik Inter Miami, David Beckham bersama rakan kongsi, Jorge Mas, ketika sidang media pelancaran MLS musim 25 di New York. – AP