Kelab Rotary Belait ceriakan warga emas

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 MAC – Penghuni Rumah Orang-orang Tua, Seria, kelmarin, diceriakan dengan kunjungan daripada ahli-ahli pelbagai kumpulan sempena Hari Persefahaman dan Keamanan Sedunia.

Diketuai oleh Kelab Rotary Belait yang meraikan ulang tahun ke-115 mesyuarat pertama kelab berkenaan, lawatan berkenaan juga diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Kelab Rotary Belait juga telah menjemput beberapa kumpulan untuk meraikan sambutan berkenaan bersama warga emas dengan menyertai pelbagai aktiviti di pusat berkenaan.

Hadir semasa lawatan itu ialah Presiden Kelab Rotary Belait, Patrick Lai; Naib Presiden, Loo Soon Nin; Bakal Presiden, Henrietta Hiew; Setiausaha, Camille Chai dan Pengerusi Projek Perkhidmatan, Helen Tang.

Turut hadir ialah ahli-ahli dari Bahagian Wanita Persatuan Foochow, Sally’s Line Dance Kuala Belait dan OM Yoga Zone & NEM fitness yang meluangkan masa untuk mengendalikan pelbagai aktiviti bersama warga emas.

Lawatan itu juga merupakan peluang bagi mereka menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada warga emas pada masa yang sama mengukuhkan ikatan dan perhubungan antara warga emas dan masyarakat sekitar.

Semasa lawatan itu, ahli-ahli rombongan mengendalikan pelbagai aktiviti berasaskan kesihatan bagi kesihatan fizikal dan mental seperti yoga, tarian, permainan dan banyak lagi.

Patrick Lai juga mengambil kesempatan semasa lawatan itu untuk menyampaikan penghargaannya kepada Restoran Buccaneer, Kuala Belait, Bahagian Wanita Persatuan Foochow, Sally’s Line Dance Kuala Belait dan OM Yoga Zone & NEM fitness atas penyertaan dan sokongan mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan untuk disertai warga emas dan pelawat semasa lawatan.