Kelab Serie A sebulat suara ingin tamatkan musim

MILAN, 3 MEI – Kelab Serie A Itali menyatakan dengan sebulat suara keinginan mereka untuk menamatkan musim bola sepak yang terjejas di tengah-tengah krisis koronavirus (COVID19).

Perhimpunan persidangan Liga Serie A menerusi video dari 20 kelab teratas muncul selepas Menteri Sukan Vincenzo Spadafora baru-baru ini mengatakan peluang untuk memulakan semula semakin tipis.

Presiden Liga Serie A, Paolo Dal Pino menyatakan keterbukaannya untuk berdialog dengan pihak kerajaan dari perspektif konstruktif dan kolaboratif, bagi mendapatkan posisi persetujuan penuh dari semua kelab.

Beberapa kelab terkemuka berulang kali menegaskan bahawa mereka mahu menyelesaikan kempen 2019-20 yang telah ditangguhkan sejak 9 Mac lalu di tengah-tengah krisis pandemik yang telah mengorbankan hampir 28,000 nyawa di Itali. Kelab ingin meneruskan latihan selewat-lewatnya pada 18 Mei dan mula bermain semula pada hujung minggu 13 dan 14 Jun nanti.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina mengatakan pembatalan itu adalah merupakan penamat bola sepak Itali dan tidak menunjukkan pengakhiran kejuaraan liga.

Gravina menganggarkan bahawa bola sepak Itali akan mengalami kerugian sehingga 800 juta euro (AS$870 juta) dalam hak penyiaran TV, penaja, tiket dan pemasaran sekiranya musim dibatalkan.

Spadafora memberitahu penyiar awam RAI bahawa kerajaan akan membantu sedaya upaya yang mungkin untuk memastikan bahawa kewangan bola sepak hanya sedikit terjejas. – AFP

Presiden FIGC, Gabriele Gravina semasa acara undian pemilihan elektif FIGC di hotel Hilton di LapanganTerbang Fiumicino di Rom pada 30 April lalu. Beberapa kelab terkemuka Serie A berulang kali menegaskan bahawa mereka mahu menyelesaikan kempen 2019-20. – AFP