Keladi bunting ancam mata pencarian nelayan

AL-BADAA, IRAQ – Dedaun lebar dan bunga ungu lembut yang terapung-apung di Sungai Furat nampak sungguh menakjubkan – namun ia menyesakkan jalan air di Iraq, terkenal sebagai ‘tanah dua sungai.’

Keladi bunting, diberi gelaran ‘bunga Sungai Nil’ di Iraq, ialah tumbuhan asli perosak di kawasan lembangan Amazon di Amerika Selatan yang telah memusnahkan ekosistem di seluruh dunia, dari Sri Lanka ke Nigeria.

Tumbuhan perosak yang merambat dengan cepat itu menimbulkan ancaman di Iraq, salah sebuah negara paling panas di dunia yang telah pun terjejas akibat kemarau dan kekurangan sumber air disebabkan penggunaan berlebihan, pencemaran dan empangan di hulu sungai.

Bunga eksotik itu diperkenalkan kepada Iraq dua dekad lalu sebagai tumbuhan hiasan, tetapi sekarang tumbuhan yang membesar dengan cepat di sepanjang sungai Tigris dan Furat menyebabkannya semakin sesak dan tersumbat.

Daunnya yang berkilat membentuk perlindungan yang tebal, menyerap sehingga lima liter air setiap tumbuhan sehari dan menyekat cahaya matahari dan oksigen yang penting kepada kehidupan akuatik di bawah permukaan air.

Tuan punya bot membuang Eichhornia crassipes, lebih dikenali sebagai keladi bunting, dari permukaan sungai Furat di daerah Shatrah di Iraq. – AFP
Nelayan menebar jaring mereka di Sungai Nil di daerah Shatrah selatan wilayah Dhi Qar pada 4 Jun 2020. – AFP
Gambar menunjukkan Eichhornia crassipes, lebih dikenali sebagai keladi bunting di Sungai Nil di wilayah Dhi Qar, Iraq. – AFP

Ia menjadikan keladi bunting musuh flora yang menggerunkan kepada nelayan Iraq, yang menjual hasil tangkapan ikan kap sungai di pasar tempatan kepada mereka yang memasak ‘masgouf’, makanan istimewa negara.

Disebabkan serangan keladi bunting, ikan kap mati dan pukat nelayan terperangkap dalam daun-daun rata, akar serta bunga yang juga menghambat perjalanan bot.

“Mata pencarian kami sudah lenyap, semuanya disebbakan bunga Sungai Nil ini,” kata Jallab al-Sharifi, seorang nelayan di selatan wilayah Dhi Qar yang mencari rezeki di Sungai Furat.

Seorang lagi nelayan di timur Baghdad yang bekerja di Sungai Tigris berkata hasil tangkapannya telah merosot sebanyak separuh.

Bunga keladi bunting juga telah menjejas petani Iraq yang sudah pun bergelut dengan paras air rendah disebabkan beberapa siri empangan yang dibina di hulu sungai di Turki dan Iran.

Tumbuh-tumbuhan tebal yang terapung itu mengurangkan paras air dan menyumbat saluran penyaliran menuju ke ladang pertanian.

“Semasa musim menuai ini, jualan sayur-sayuran kami di pasar tempatan berkurangan sebanyak satu pertiga,” kata Ahmed Yasser, petani di sebuah kampung berhampiran Kut, timur Baghdad.

Keladi bunting mencetuskan satu lagi tekanan – kawasan seluas 100 meter persegi boleh mempunyai berat lima tan, justeru memberikan tekanan kepada infrastruktur tepi sungai yang usang.

Di kampung al-Badaa, tiang-tiang tebal yang menyokong jambatan bata yang pernah merentangi Sungai Furat kini ditutupi dengan keladi bunting.

Empangan di hulu sungai yang memagari kawasan tanah yang kelihatan seperti paya turut ditutupi oleh tumbuhan tersebut. Jika bunga tidak dibuang, ‘jambatan dan empangan al-Badaa akan roboh,” kata Jalil al-Abboudi, sheikh kampung.

“Dan jika ia roboh, seluruh sistem bekalan air akan runtuh.”

Ia akan menyebabkan seluruh rantau besar – sehingga wilayah selatan Iraq di Basra – kehilangan sumber air yang amat penting kepada ekosistem dan ekonomi mereka.

Ekonomi Iraq yang bergantung pada minyak telah pun diramalkan mengecut sebanyak hampir 10 peratus pada tahun ini, menurut Bank Dunia.

Dan krisis kesihatan yang dicetuskan oleh kekurangan air minuman di selatan menyebabkan kira-kira 100,000 penduduk dimasukkan ke hospital pada 2018.

Penduduk tempatan menyalahkan pihak berkuasa atas apa yang dikatakan oleh mereka sebagai pengabaian dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi bertahun-tahun lamanya.

“Kekurangan tindakan oleh kementerian sumber air, dan disebabkan tidak adanya pembaikan ke atas infrastruktur menyebabkan serangan yang sampai ke tadahan air yang boleh diminum.

Namun Saleh Hadi, ketua penyelidikan di pejabat pertanian Dhi Qar, menegaskan kementerian sedar tentang ancaman yang timbul dan sedang berusaha keras untuk mengurangkannya.

“Kementerian sumber air sedang berusaha untuk mengatasi masalah tumbuhan ini secara mekanikal dengan mencabutnya dari saluran penyaliran,” beritahunya kepada AFP.

Masalah yang tidak ada kesudahannya telah diburukkan lagi pada tahun ini disebabkan pandemik koronavirus.

Di bawah keadaan biasa, penduduk kampung Iraq di sepanjang tebing Sungai Furat mencabut tumbuhan itu dengan tangan dan bukannya menggunakan ejen kimia yang akan memusnahkan ekosistem lemah itu.

Namun pada tahun, perintah berkurung di seluruh negara yang dikenakan untuk mengekang jangkitan COVID-19 membenarkan keladi bunting membesar merayap dengan bebas tanpa halangan.

Bagaimanapun, beberapa anggota sukarelawan tidak menghirau perintah berkurung dan bertindak menghapus bunga parasit yang dilihat oleh mereka sebagai ancaman lebih besar kepada mata pencarian mereka daripada pandemik. – AFP