Oleh Nurdiyanah R.
Sejak akhir-akhir ini, bukan saja COVID-19 menjadi kebimbangan ramai orang tetapi pokok keladi hiasan juga boleh menyebabkan pencinta bunga tidak lena tidur jika melihat ada ‘varian’ baharu dikongsikan dalam laman media sosial sehingga tular video mengenai peminat dari negara luar yang merembat keladi yang tumbuh di sekitar kubur dan kes kecurian bunga keladi.
Penangan keladi atau caladium sangat hebat semasa musim pandemik tahun lalu sehingga kini masih diburu di sebalik semak, hutan, di tepi jalan, tanah lembap dengan ciri-ciri yang unik boleh mencecah harga ribuan ringgit.
Hanya penggemar bunga tahu nilai estetik tanaman hiasan itu yang bukan saja dijadikan hobi malah berfungsi mencantikkan kediaman pemiliknya.
Menariknya, keladi ini memiliki daya kecantikannya yang lebih terpancar pada jalur dan warna-warna yang berhias pada daunnya berbanding bunganya.
Memiliki warna yang pelbagai, daunnya tidak hanya berwarna hijau, tetapi ada juga yang berwarna merah, merah jambu, ungu, putih dan bermacam-macam lagi. Kombinasi warna pada daun-daunnya itu pastinya akan membuat seseorang yang memandangnya terpesona ibarat jatuh cinta pada pandangan pertama.
Semakin tua, semakin menarik
Mungkin majoriti masyarakat kita pernah mendengar peribahasa Melayu, ‘tua-tua keladi, makin tua makin menjadi’ yang sememangnya mengandungi makna tersirat iaitu makin tua makin banyak pengalaman atau pun orang tua nakal yang berjiwa muda.
Namun realitinya, ungkapan itu juga sebenarnya boleh kita hubung kaitkan dengan tanaman pokok bunga keladi ini kerana apabila kita menyaksikan tumbesaran tanaman ini semakin besar daunnya akan terserlah daya tarikan keindahannya.




Dalam pada itu, salah satu ciri yang dimiliki oleh pokok bunga ini juga adalah bentuk daunnya yang sangat unik dan menarik, iaitu berbentuk hati. Selain bentuk hati, jenis daripada tanaman ini juga memiliki bentuk daun yang lain seperti bujur, segi tiga hingga memanjang.
Begitu juga ciri-cirinya yang lain iaitu tanaman ini memiliki tekstur yang licin dan mengandungi lapisan lilin. Secara umumnya pokok bunga ini tidak memiliki batang. Ia hanya memiliki tangkai yang wujud sebagai pelepah.
Antara jenis-jenis pokok bunga keladi hiasan, ialah Keladi Bicolor (caladium bicolor), Keladi Tikus, Keladi Black Jack (Lasia spinosa), Keladi Tengkorak (Alocacia cuprea), Keladi Tengkorak Hijau (Alocasia cypeolata), Keladi Alocasia Polly, Keladi Telinga Gajah (Alocasia lowii), Keladi Alocasia Sanderiana, Keladi Polka Green (Caladium bicolorvar), Keladi Army Look (Alocasia hilo beauty), Keladi Tricolor, Keladi Black Velvet, Keladi wayang (Caladium ginger land) dan Keladi Joker.
Simbol cinta di sebaliknya
Di sebalik daunnya menyerupai bentuk hati yang diserikan dengan beragam warna dan gaya corak pelbagai ukuran kecil dan besar itu tersemat simbol sebuah cinta.
Terdapat daun diserikan dengan corak berbentuk titik dan garis sehingga bercorak abstrak, namun apabila kita merenung sedalam-dalamnya pada daun itu, maka dapat dibayangkan begitulah perjalanan kehidupan manusiawi kadang kala gembira, tenang, sedih dan juga marah.
Bercorak, berwarna dan bervariasi, semua itu harus dijalani manusia setiap waktu selagi masih diberikan rezeki bernafas di dunia yang fana ini.
Dalam pada itu, kita juga dapat merenung gambaran apabila menyiram daun-daun tanaman ini, pastinya kita dapat menyaksikan air tidak sepenuhnya membasahi setiap helaian daun, bahkan limpahan air hanya mampu terkena pada sedikit permukaannya sahaja. Sekiranya berlaku sedikit goyangan, air pada daun akan tertumpah sehingga tidak meninggalkan sisa. Hal ini menunjukkan erti keseimbangan cinta yang harus kita jaga dalam meniti kehidupan sehari-hari dengan jiwa yang ikhlas.
Ketahui cara pemeliharaan sebaiknya
Bagi sesiapa yang baharu berjinak-jinak menjadi pengumpul tumbuhan pokok bunga keladi ini maka harus mengetahui terlebih dahulu akan cara pemeliharaan tanaman ini.
Dari segi aspek media tanam, bagi tanaman pokok bunga ini, setentunya kita harus memilih jenis media tanam yang sesuai.
Secara umumnya, pokok bunga ini dapat tumbuh di mana-mana sahaja. Namun untuk memastikan tanaman tersebut tumbuh secara maksimum, maka diusahakan media tanam yang digunakan adalah campuran bahan organik dengan pH antara 5.5 sampai 6.5. Perlu diingat bahawa campuran organik dengan pH di bawah 5 akan membuat pertumbuhan pokok bunga ini menjadi terganggu. Adapun untuk mengetahui ciri utama yang memaparkan pokok bunga ini tidak tumbuh dengan baik adalah warna daunnya menjadi lebih gelap. Oleh sebab itu pemilihan media tanam ini sangat penting.
Selain itu, seperti tumbuhan lainnya, pokok keladi ini juga memerlukan sinar matahari namun intensiti daripada cahaya matahari yang diperlukan bagi pokok ini tidak boleh berlebihan. Dengan kata lain, ia tidak boleh terkena sinar matahari secara langsung kerana ia boleh menyebabkan daun-daunnya menjadi kering dan terbakar.
Manakala dari segi aspek pengairan pula, kelembapan pada media tanam bagi tanaman pokok bunga keladi ini merupakan salah satu perkara penting dalam media tanaman. Hal ini begitu mustahak dititikberatkan dalam penjagaan tanaman kerana jika kering, maka tanaman tersebut akan mati.
Di samping itu, suhu yang sesuai untuk tumbuhan ini adalah suhu tropikal iaitu sekitar 21 hingga 32 darjah Celcius. Perlu diketahui juga apabila suhu di bawah 18 darjah Celcius, maka pokok bunga ini akan memasuki fasa dorman (tidak aktif). Pada dasarnya, pokok bunga keladi ini juga tidak memerlukan nutrisi yang banyak. Namun untuk menjaga pertumbuhannya, kita perlu memberikan nutrisinya secara tetap seperti memberikan baja atau kompos. Ianya tidak boleh diberikan secara berlebihan kerana akan mengganggu warna daunnya.