Kelahiran Rasulullah SAW terus diingati

Oleh Sim Y.H. & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Laungan dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW terus bergema dengan rombongan kementerian-kementerian kerajaan mengadakan majlis dikir di masjid-masjid, surau dan balai ibadat terpilih di seluruh negara.

Dalam sama-sama memakmur masjid, rombongan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menghadiri acara Dikir Syarafil Anam di Masjid Kampung Kilanas.

Rombongan diketuai oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, turut mengadakan majlis seumpamanya di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Tungku.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri acara Dikir Syarafil Anam di Masjid Kampung Kilanas. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri majlis dikir yang diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Tungku. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Awang Salminan semasa menghadiri majlis di Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong. – Gambar serahan KHEDN
Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah semasa turut serta dalam majlis Ihya Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Kampung Selangan, Daerah Temburong. – Gambar serahan KHEU

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, berserta pegawai dan kakitangan lelaki di Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis bertahlil dan Dikir Syarafil Anam ke masjid-masjid sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi kementerian berkenaan pada tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Perbendaharaan.

Sementara itu, kelmarin, rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan majlis dikir di Masjid Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi, Daerah Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KHEDN, majlis dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut selaku ketua rombongan.

Turut menyertai rombongan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim dan ahli Mesyuarat Negara selaku Penghulu Zon 2, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, para penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua kampung serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Batu Apoi dan ahli takmir masjid.

Kenyataan menyatakan, rombongan berkenaan akan berkunjung ke Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong sebagai majlis penutup yang akan diadakan pada 27 Oktober ini.
Sementara itu, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pula meneruskan Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Kampung Selangan, Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan KHEU, Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail selaku wakil peribadi setiausaha tetap di KHEU.

Majlis seumpama ini diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.