Kelantan rancang bina padang bertaraf antarabangsa

KOTA BHARU, 6 OGOS – Dua padang hoki bertaraf antarabangsa yang akan dibina di Kelantan bukan sahaja dapat meningkatkan pembangunan sukan berkenaan, malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negeri.

Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Kelantan (PHK) Hasnizam Hassan berkata dengan adanya padang hoki itu, banyak program pembangunan dapat dijalankan selain daripada penganjuran kejohanan hoki peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Aspek kemudahan padang hoki sudah lama diusahakan oleh PHK dengan kerjasama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) serta kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan membina stadium hoki di negeri ini.

“Pihak PHK mengharapkan sebuah stadium sahaja namun mendapat bonus apabila kerajaan negeri telah mengangkat permohonan menjadi dua bersesuaian dengan Kelantan yang akan menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama