TAPAH, 28 Sept – Inisiatif Jabatan Penjara Malaysia mewajibkan banduan Islam mengikuti kelas tahfiz al-Quran telah berjaya melahirkan lebih ramai huffaz dalam kalangan penghuni penjara.
Timbalan Komisioner Jeneral (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Alzafry Mohamed Al Nassif Mohamed Adahan berkata menerusi kelas tahfiz yang dimulakan secara berperingkat sejak 2010 itu, ramai penghuni penjara berpeluang mengenal dan membaca al-Quran seterusnya mengamalkan dalam kehidupan seharian.
“Majoriti banduan yang pertama kali masuk penjara tidak pandai membaca al-Quran dan Alhamdulillah, dengan inisiatif ini mereka dapat mengenali huruf dan boleh membaca al-Quran dengan lancar, sekali gus memperteguhkan rohani serta jasmani.
“Kita dapati golongan yang jenis selalu berulang-alik masuk penjara telah berkurangan. Kita yakin mereka telah sedar dan harap berkekalan berubah ke arah kebaikan,” katanya. – Bernama