Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
TEMBURONG, 22 Ogos – Bagi merealisasikan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebuah Negara Zikir, Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Temburong terus membuka peluang kepada semua Muslimah di daerah ini untuk menambah pengetahuan mereka dalam pembacaan Al-Quran dan ilmu-ilmu agama melalui pengendalian aktiviti-aktiviti berunsur kerohanian sebagai usaha untuk memastikan setiap lapisan rakyat di negara ini celik Al-Quran.
Guru Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Temburong, Dayang Ratinah binti Bahar semasa ditemu bual, berkata, kelas bimbingan yang bermula pada tahun 2007 itu adalah bertujuan untuk mengimarahkan masjid, mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat selain menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan agama yang berpusat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Selain mengadakan kelas bacaan Al-Quran dan Iqra, aktiviti lain yang dipelajari oleh para Muslimah dalam kelas bimbingan itu termasuk pengenalan mengenai fardhu kifayah, fardu ain, zikir, mengikuti kursus, ceramah, lawatan dan sebagainya.
“Pengalaman sebagai guru kepada lebih 40 orang Muslimah berumur antara 32 hingga 70 tahun yang berdaftar menjadi ahli ini sangat mencabar, walau bagaimamapun saya merasa bangga dengan pencapaian mereka dalam pembacaan Al-Quran,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kelas yang dibuka setiap hari Selasa bermula pukul 8:30 hingga 10:30 pagi ini merangkumi 30 jemaah dalam satu sesi yang menumpukan kepada pembacaan Al-Quran secara bertajwid.
Di samping tugas beliau sebagai guru sekolah agama, Dayang Ratinah juga berkata majoriti Muslimah yang menyertai kelas ini terdiri daripada mereka yang tidak mengenal huruf dalam bacaan.
Ujarnya, perbezaan antara mengajar murid-murid sekolah dengan Muslimah yang sudah berusia sememangnya satu perkara yang mencabar kerana murid sekolah mempunyai asas pembacaan seawal pra sekolah agama lagi.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menjadikan sebagai alasan untuk menggalas tanggungjawab tersebut, bahkan beliau terus berusaha dengan gigih mengajar mereka sehingga menunjukkan peningkatan dalam pengajaran bacaan Al-Quran serta ilmu agama Islam lainnya.
Beliau juga merasa syukur dan bangga dengan pencapaian mereka dan menyarankan agar setiap muslimah akan terus dapat berlatih dan mengamalkannya di rumah, serta aktif menyertai apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid.
Tambahnya, suri-suri rumah tangga adalah dialu-alukan untuk tampil menyertai kelas ini yang merupakan program di bawah kawalan Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid Negara Brunei Darussalam.