Kelas memandu kembali seperti biasa

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sekolah-sekolah memandu kini dibenarkan untuk mengadakan kelas pada kapasiti yang biasa pada satu-satu masa dengan mematuhi syarat-syarat yang masih dikekalkan dan garispanduan serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di keempat-empat daerah mulai 27 Julai ini.

Perkara tersebut adalah antara yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam petang tadi bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Ia adalah sebahagian daripada pelan de-escalation yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi untuk beralih dari fasa ketiga ke fasa keempat. Kebenaran bagi pengoperasian pada kapasiti yang biasa ini adalah juga termasuk bagi ujian kod jalan raya dan ujian kelayakan memandu.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengeluarkan garis panduan bagi pembelajaran praktikal kelas memandu dan ujian kelayakan memandu dengan mengikut syarat-syarat yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, seperti mengimbas kod QR BruHealth, pemeriksaan suhu badan, mengamalkan kebersihan diri, memakai penutup mulut dan hidung, melakukan pembersihan dan sanitasi selepas setiap kelas teori atau ujian bertulis kod jalan raya, membersihkan kenderaan latihan atau ujian dan disinfeksi serta merehatkan kenderaan latihan atau ujian selama 15 minit sebelum digunakan semula.

Sementara itu, beliau turut mengongsikan pada pelonggaran tahap ketiga kafe internet bermula 27 Julai ini, yang dibenarkan beroperasi pada kadar 90 peratus kapasiti, dan perlu mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.