Kelas muzik kembali beroperasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Dengan pengumuman tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial, kelmarin, sekolah-sekolah tuisyen dan muzik sudah dibenarkan beroperasi bermula hari ini.

Semasa tinjauan media ke PGS RMF Music Studio, DSP (B) Pengiran Shaiful Rezal Malek Faesal bin Pengiran Haji Marali yang merupakan pengasasnya berkata, mereka telah mendapat panggilan daripada ibu bapa dan pelajar untuk meneruskan kembali sesi pembelajaran muzik mereka.

Mengulas mengenai langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan bagi sesi pembelajaran muzik, beliau berkata, mereka menawarkan kelas dengan kaedah perseorangan dan bukan dalam bentuk berkumpulan.

“Oleh itu ia selaras dengan garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan perhimpunan ramai.

“Selain itu, kami juga meminta agar para pelanggan dan pelajar kami untuk membuat imbasan kod QR terlebih dahulu sebelum memasuki studio kami. Manakala pemeriksaan suhu badan dan penggunaan gel pembasmi kuman di tempat masuk studio kami, selain turut mengamalkan dan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan,” tambah beliau.

DSP (B) Pengiran Shaiful Rezal Malek Faesal bersama salah seorang pelajarnya.

Dalam temu bual itu, beliau menyatakan bahawa perniagaan mereka turut terjejas disebabkan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

Katanya, mereka terpaksa menangguhkan pengurusan acara, studio rakaman, jamming studio dan pengajaran muzik.

“Boleh dikatakan perniagaan kami menurun kepada hanya 20 peratus operasi. Begitu juga dengan bilangan pelajar yang semakin berkurang disebabkan para ibu bapa terutama bagi yang mempunyai anak yang masih kecil memberhentikan sementara kelas dan pembelajaran mereka,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, mereka juga berhasil menggalakkan sebahagian pelajar untuk meneruskan pembelajaran muzik mereka secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Zoom.

“Namun disebabkan jaringan hubungan Internet yang terhad dan tidak mengizinkan, kami turut membuat video tutorial dan dihantar kepada ibu bapa pelajar masing-masing pada setiap minggu,” ujarnya.

Meskipun begitu tidak semua pelajar suka akan kaedah berkenaan kerana kurangnya interaksi secara langsung antara guru dan para pelajar.