Kelawar ada loghat?

SYDNEY, 2010 – Bukan sahaja manusia yang mempunyai loghat, kelawar juga didapati mempunyai dialek tersendiri bergantung dengan tempat di mana ia tinggal sekali gus boleh membantu mengenal pasti dan melindungi spesies berbeza, menurut saintis Australia.

Penyelidik Brad Law dari Pusat Sains Perhutanan mendapati kelawar yang tinggal di dalam hutan di sepanjang pesisir timur negeri New South Wales mempunyai jeritan berbeza.

Menurutnya, saintis sudah lama mengesyaki kelawar mempunyai jeritan kawasan berbeza seperti didapati dalam kajian ke atas beberapa haiwan lain, namun ini merupakan kali pertama ia terbukti dalam perkara itu.

Law mengatakan jeritan berbeza kira-kira 30 spesies kelawar digunakan untuk membangunkan satu sistem agar saintis boleh mengenal pasti berbagai jenis kelawar di sepanjang pesisir itu, menilai jumlah dan melindunginya.

“Kami perlu memperbaiki keupayaan kami untuk memastikan perbezaan antara spesies yang lazimnya mengongsi jeritan sama dan kami mesti meningkatkan kelajuan pengenalan jeritan,” kata Law dalam edisi terbaru majalah Perhutanan New South Wales, Bush Telegraph.

“Automasi pengenalan jeritan kelawar dilihat sebagai perkembangan penting dalam keberkesanan kaedah tinjauan ini dan seharusnya memenuhi secara mutlak ke-dua-dua kriteria ini.”

Projek itu dijalankan oleh Law dan beberapa saintis lain dari Pusat Sains Perhutanan, sebuah unit badan kerajaan negeri Industri dan Pelaburan NSW, dan penyelidik dari University of Wollongong dan University of Ballarat.

Penyelidik mengambil nada 4,000 jeritan kelawar dan menggunakan program perisian dibuat sendiri untuk membangunkan kunci pengenalan bagi jeritan kelawar di berbagai bahagian New South Wales.

Kelawar menggunakan jeritan untuk mengemudi dan memburu menggunakan satu proses dipanggil gemalokasi yang mana frekuensi tinggi ultrabunyi, tidak dapat didengar oleh manusia, memukul objek dan bergema semula.