Kelawar ditidurkan di peti sejuk, sebelum kembali ke habitat liar

SETELAH berhibernasi semasa musim sejuk di dalam peti sejuk di sebuah pusat penyelamat di Belarus, sekumpulan burung kelawar telah bangun dan dibebaskan ke dalam hutan.

Bagi memastikan hibernasi yang baik semasa musim sejuk, setiap kelawar dibungkus dengan menggunakan kain atau tuala oleh sukarelawan di pusat tersebut kemudian kelawar ini digantung di dalam peti sejuk serta memberikan tahap kelembapan dan kadar sejuk yang bertepatan.

Pusat penyelamat yang dikenali sebagai Pusat Kozhanopolis, terletak di Minsk, mengambil burung-burung kelawar ini yang ditemui oleh orang ramai selepas burung-burung ini sukar untuk menemui tempat yang selamat untuk melakukan hibernasi.

“Lazimnya, pada musim sejuk, kelawar ini akan tidur atau hibernasi sepenuhnya dan ia memerlukan persekitaran yang cukup sejuk dan lembap,” kata ketua pusat itu, Alexei Shpak kepada media AFP.

“Burung ini terbang ke kawasan balkoni orang ramai, masuk ke dalam pintu masuk blok pangsapuri, pengalih udara, ruang bawah tanah dan sebagainya. Kadang-kadang orang ramai menemuinya di atas tanah yang bersalji,” jelas Alexei kepada media.

Burung-burung ini akan diberi makan cacing ‘grubs’ dan diberi minuman air melalui pipet untuk meningkatkan lagi tahap kekuatannya. – AFP
Kelawar hitam akan membuka sayapnya untuk memastikan tahap kesihatannya. – AFP

Bagi memastikan hibernasi yang baik semasa musim sejuk, setiap kelawar dibungkus dengan menggunakan kain atau tuala oleh sukarelawan di pusat tersebut. – AFP

Persekitaran yang sesuai

Persekitaran atau keadaan suhu yang sesuai untuk melakukan hibernasi adalah antara kosong hingga lima darjah Celsius dan tahap kelembapan lebih daripada 50 peratus serta pusat perlindungan kelawar ini menemui cara yang mudah untuk menyediakan perkhidmatan itu. “Itulah apa yang dibuat oleh peti sejuk, peti sejuk yang biasa terdapat di rumah-rumah,” kata Shpak.

Pusat ini hanya mempunyai satu sahaja peti sejuk dan mempunyai ruang yang mencukupi untuk 32 ekor burung kelawar yang menghabiskan masa di dalam kain dan tergantung di dalam peti sejuk tersebut.

Sesetengah kelawar di pusat itu juga pernah menghabiskan masa di dalam peti sejuk semasa pertengahan bulan Disember yang lalu, katanya. Kelawar-kelawar ini merupakan dua jenis yang terdapat di benua Eropah iaitu Parti-Coloured Bats dan kelawar Serotin.

Pusat ini tidak mempunyai pembiayaan negeri tetapi pusat ini menerima kemudahan daripada pendidikan negara dan segala kelengkapan dibiaya oleh sumbangan orang ramai.

Apabila datang musim bunga dan keadaan suhu meningkat kepada 10 darjah Celsius, Shpak dan tiga orang sukarelawan di pusat itu dengan berhati-hati mengeluarkan burung kelawar tersebut dari kain-kain tersebut supaya ia dapat bangun secara semula jadi.

Diberikan makan dan minum

“Apabila kelawar ini merasakan suhu yang lebih tinggi, suhu badannya akan mula naik dan ketika itulah ia akan bangun,” kata Shpak. Kelawar hitam akan membuka sayapnya untuk memastikan tahap kesihatannya. Burung-burung ini akan diberi makan cacing ‘grubs’ dan diberi minuman air melalui pipet untuk meningkatkan lagi tahap kekuatannya.

Pada waktu petang, penduduk yang berminat mengikuti Shpak dan para sukarelawan ke sebuah taman, di mana mereka meletakkan burung-burung kelawar itu di pokok dan kembali hidup dalam habitat liarnya.

Bagi mereka yang hadir, bercakap mengenai prejudis mereka terhadap kelawar dan melihat kelawar dibebaskan ke habitat liar telah mengubah perasaan mereka.

Anna, seorang guru sekolah telah datang bersama dengan anak perempuannya yang kecil dan tersenyum ketika sedang mendekati seekor kelawar. “Ia sangat hodoh namun apabila ia dipegang, ia kelihatan tenang, sangat mudah disentuh, kecil dan berbulu. Ia merupakan satu keajaiban,” kata Anna kepada media. – AFP